Kenderaan bateri elektrik: TESLA buka ibu pejabat di Malaysia

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah meluluskan permohonan TESLA untuk mengimport kenderaan bateri elektrik (BEV) ke Malaysia.

Dalam merealisasikan objektif ini, TESLA akan membuka sebuah ibu pejabat di Malaysia, memperkenalkan Pusat Pengalaman dan Pusat Servis TESLA serta mewujudkan rangkaian pengecas Superchargernya di Malaysia.

Kehadiran TESLA di Malaysia dijangka mewujudkan peluang pekerjaan yang mampu menawarkan gaji lebih baik bagi segmen BEV dan meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam ekosistem TESLA di peringkat domestik dan global.

"Kami gembira dengan keputusan TESLA untuk turut serta dalam ekosistem kenderaan elektrik (EV) di Malaysia. Ini membuktikan keyakinan TESLA terhadap asas ekonomi dan persekitaran perniagaan yang kondusif di Malaysia," kata menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, walaupun telah banyak jenama global utama memilih untuk melabur di Malaysia, MITI dan agensinya akan terus meningkatkan usaha dalam menambah kemudahan menjalankan perniagaan, sambil terus menaikkan profil Malaysia sebagai negara properdagangan, proindustri dan propelaburan

"Kami juga akan memanfaatkan ekosistem elektrik dan elektronik secara strategik bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan bagi teknologi berkaitan mobiliti elektrik,” tambah Tengku Zafrul.

Sementara itu, kemasukan TESLA telah dipermudahkan oleh MITI melalui pengenalan inisiatif BEV Global Leaders bagi tujuan membantu meningkatkan permintaan BEV dalam pasaran tempatan dan menggalakkan pembangunan keseluruhan ekosistem untuk menyokong penggunaan BEV.

"Di samping itu, inisiatif ini bertujuan untuk mendapatkan pelaburan daripada syarikat pengeluar BEV global terkemuka di Malaysia. TESLA ialah pemohon pertama inisiatif oleh MITI ini," menurut kementerian itu. - Bernama