Maritim Selangor rampas 26 bubu naga

Sebanyak 26 unit bubu naga dirampas menerusi operasi yang dijalankan Maritim Selangor di perairan barat laut Sungai Janggut pada Selasa.
Sebanyak 26 unit bubu naga dirampas menerusi operasi yang dijalankan Maritim Selangor di perairan barat laut Sungai Janggut pada Selasa.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Sebanyak 26 unit bubu naga dirampas menerusi operasi yang dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia(Maritim Malaysia) Selangor di perairan barat laut Sungai Janggut di sini pada Selasa.

Pengarah Maritim Malaysia Selangor, V Sivakumar berkata, kesemua bubu naga tersebut dikesan menerusi rondaan yang dijalankan sekitar lokasi.

"Rondaan rutin yang dijalankan kira-kira jam 11 pagi mengesan beberapa pelampung mencurigakan.

"Pemeriksaan mendapati pelampung tersebut diikat dengan peralatan dipercayai bubu naga yang mengandungi 13 unit bubu naga bagi setiap satu pelampung," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, anggota Maritim Selangor kemudiannya menunggu kira-kira 30 minit di lokasi penemuan bagi mendapatkan pemilik bubu naga terbabit.

"Bagaimanapun, tiada bot yang menghampiri kawasan tersebut sebelum kesemua bubu naga itu dirampas dan dibawa ke Jeti Polis Marin Pulau Indah bagi tindakan selanjutnya.

"Anggaran kesemua bubu naga yang dirampas bernilai RM1,300 dengan harga RM50 setiap unit," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 11(3)(c)Akta Perikanan 1985.