[VIDEO] Inisiatif i-Madani RM500 galak budaya menabung

Kerajaan menyumbang caruman simpanan KWSP sebanyak RM500 menerusi inisiatif i-Madani untuk galak budaya menabung di kalangan rakyat. Gambar kecil: Azli
Kerajaan menyumbang caruman simpanan KWSP sebanyak RM500 menerusi inisiatif i-Madani untuk galak budaya menabung di kalangan rakyat. Gambar kecil: Azli
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan menyumbang caruman simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM500 menerusi inisiatif i-Madani untuk menggalakkan budaya menabung di kalangan rakyat.

Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof berkata, ia kerana semangat menyimpan wang bukan menjadi budaya masyarakat negara ini.

"Selagi ada duit dalam bank, selagi boleh keluarkan kita keluarkan. Itu masalah kita.

"Contohnya dulu, Tabung Haji tak benar keluarkan (wang simpanan). Sebab itu kita boleh simpan banyak.

"Tapi bila (simpanan dalam) Tabung Haji boleh keluarkan, wang tak bertambah-tambah dah pun sebab ada masanya kita keluarkan," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada program Wacana Sinar siri 386 bertajuk ‘Bajet 2023: Buah tangan terindah atau...’ yang dikendalikan penyampai Astro Awani, Irfan Faruqi selaku moderator yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Selasa.

Turut bergandingan bersama beliau sebagai panelis ialah Penganalisis Ekonomi, Datuk Dr Nazri Khan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tentang inisiatif i-Madani KWSP kepada ahli yang berumur antara 40 hingga 54 tahun dengan simpanan kurang RM10,000 dalam akaun satu.

Inisiatif itu akan memanfaatkan dua juta ahli KWSP yang melibatkan peruntukan RM1 bilion.

Mengulas lanjut, Azli memberitahu, inisiatif itu dilakukan kerana kerajaan mahu menaikkan semula simpanan hari tua golongan B40.

"Kerajaan mahu pulihkan balik median simpanan tujuh juta ahli Melayu di KWSP yang menurun kepada RM5,500 ketika ini berbanding RM16,900 pada 2020.

"Untuk naikkan balik simpanan mereka, mungkin perlu kumpulkan sehingga 20 tahun. Jadi ini satu inisiatif yang dilakukan untuk menggalakkan budaya menyimpan dan memberi kesedaran tentang kepentingan adanya skim simpanan untuk hari tua," jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, Malaysia memiliki satu skim simpanan hari tua yang terbaik dalam dunia kerana ia membela rakyat kita dan memberi mereka jaminan pada hari tua.

"Saya pergi ke banyak negara dan saya tanya mereka, mereka akui tak ada sistem sebegini. Kalau ada pun, mungkin carumannya agak rendah.

"Tapi kita tetapkan kadar berkanun caruman syer pekerja sebanyak 11 peratus dan majikan 13 peratus. Itu satu amaun yang sangat tinggi dan sangat memberikan manfaat kepada orang sudah pencen.

"Kebetulan saya sendiri tahun lepas dapat manfaat itu dan ia memang sangat berharga buat saya dan keluarga," tambah beliau.