Berjasa sudi terima Annuar

Zulkifli (kiri), Annuar
Zulkifli (kiri), Annuar
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) terbuka untuk menerima mana-mana pihak termasuk bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa sekiranya mahu menyertai parti itu asalkan bersetuju dengan prinsip perjuangan Berjasa.

Setiausaha Agungnya, Zulkifli Yahya berkata, ini kerana asas perjuangan yang Annuar mahukan dilihat selari dengan perjuangan Berjasa iaitu berkaitan perjuangan bangsa dan agama.

“Jika Tan Sri Annuar yakin Berjasa parti yang sesuai dengan prinsip yang dicari, maka Berjasa amat terbuka untuk beliau menyertai parti kerana Berjasa komited berjuang demi agama dan watan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada Isnin, Annuar dalam satu kenyataan di Facebooknya mengumumkan keputusan beliau untuk kembali meneruskan perjuangan politik selepas hampir tiga bulan dipecat daripada UMNO.

Menurut bekas Ahli Parlimen Ketereh itu, beliau sedang memilih dan bersedia menyertai mana-mana parti politik yang sesuai dengan perjuangannya.