Enam ketua bahagian di Johor menang tanpa bertanding

Gambar atas dari kiri: Nur Jazlan, Zulkurnain, Onn Hafiz
Gambar bawah dari kiri: Abdul Ghani, Muszaidi, Mohamed Khaled
Gambar atas dari kiri: Nur Jazlan, Zulkurnain, Onn Hafiz Gambar bawah dari kiri: Abdul Ghani, Muszaidi, Mohamed Khaled
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai enam calon ketua UMNO bahagian di negeri ini menang tanpa bertanding pada pemilihan parti di peringkat bahagian masing-masing.

Mereka ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di bahagian Simpang Renggam; Pengerusi UMNO Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin (Pasir Gudang) dan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed (Pulai).

Tiga lagi calon menang tanpa bertanding ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Muszaidi Makmor (Kota Tinggi); ADUN Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan (Parit Sulong) dan Datuk Abdul Ghani Abd Rashid (Sembrong).

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali berkata, baki 20 bahagian lagi menyaksikan pertandingan jawatan ketua UMNO bahagian antara dua hingga tiga penjuru.

Jelasnya, sebanyak lima bahagian berdepan saingan tiga penjuru iaitu Ledang, Muar, Sri Gading, Batu Pahat dan Kulai manakala 15 lagi melibatkan pertembungan satu lawan satu.

"Antara penyandang yang mempertahankan jawatan itu ialah Datuk Ismail Mohamed di Pagoh, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi di Batu Pahat, Datuk Md Jais Sarday (Kluang) dan Datuk Dr Adham Baba (Tenggara).

"Seterusnya Datuk Hasni Mohammad (Pontian), Datuk Seri Azalina Othman (Pengerang) dan Datuk Jefridin Atan (Tanjung Piai)," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Samsolbari memaklumkan, Datuk Noraini Ahmad yang merupakan penyandang Ketua Wanita UMNO Bahagian Parit Sulong menang tanpa bertanding bagi jawatan tersebut.

Selain itu, ADUN Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan turut menang tanpa bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pontian dan ADUN Mahkota, Sharifah Azizah Syed Zain di bahagian Kluang.

Tambahnya, bagi pertandingan Ketua UMNO Bahagian, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan turut menawarkan bertanding merebut jawatan itu di bahagian Pontian.

"Begitu juga dengan Ketua Pemuda UMNO Johor, Hairi Mad Shah yang pertama kali bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru selepas penyandangnya Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan itu sebelum ini," katanya.

Dalam masa yang sama Samsolbari berkata, pemilihan di peringkat bahagian dan sayap melibatkan wanita, puteri dan pemuda membuktikan UMNO masih mempunyai ramai pendukung.

"Melihat kepada nama calon yang begitu ramai, jelas sekali menunjukkan masih ramai yang menawarkan diri untuk berkhidmat.

"UMNO masih menggunakan demokrasi dan hak ahli untuk memilih dengan adil demi masa depan parti," katanya.