Carian maklumat lebih cepat di Sir Corner

Razli (kanan) ketika meninjau Sir Corner di Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu UMK Kampus Bachok.
Razli (kanan) ketika meninjau Sir Corner di Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu UMK Kampus Bachok.
A
A
A

BACHOK - Lebih 2,400 pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kampus Bachok mendapat manfaat daripada pembukaan Serambi Ilmu Rakyat (Sir Corner) di universiti itu.

Sir Corner yang disumbangkan oleh Yayasan Bank Rakyat menyediakan lebih 100,000 data yang boleh diakses untuk tujuan pembelajaran dan pengetahuan am.

Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Razli Che Razak berkata, pelajar boleh mengakses data majalah, e-book, jurnal dan akhbar dengan lebih cepat berbanding carian manual.

"Inisiatif Yayasan Bank Rakyat menyumbangkan set lengkap Sir Corner merupakan antara usaha menggalakkan tabiat membaca tanpa sempadan, masa dan lokasi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sir Corner dan Bantuan Awal Pengajian (BAP) di UMK pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Mohammad Ismail dan Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat, Yayasan Bank Rakyat, Khairul Na'im Arifin.

Selain itu, Razli memberitahu, Sir Corner juga boleh digunakan oleh komuniti luar untuk mendapatkan maklumat terkini serta bahan bacaan ilmiah secara digital.

"Kita berharap perpustakaan dan Sir Corner menjadi tempat yang dapat menghasilkan sesuatu berimpak tinggi seperti penerbitan, perkongsian dan kejayaan dalam akademik," katanya.

Pada majlis sama katanya, UMK turut menerima BAP daripada Yayasan Bank Rakyat sebanyak RM100,000 kepada pelajar B40 untuk meneruskan pengajian di pusat pengajian tinggi itu.

"Bantuan ini melibatkan 100 pelajar dan pemilihan berdasarkan senarai yang dikenal pasti," katanya.

Tambah beliau, kesemua mereka ialah pelajar semester satu hingga tiga di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda.