Penyeludup lari tinggalkan ketum sejurus kemalangan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Tindakan seorang lelaki melarikan diri sejurus kereta dipandu terbabit kemalangan dengan sebuah kereta lain membongkar kegiatan penyeludupan 50 bungkusan daun ketum di Jalan Tanah Merah Jeli di Kampung Chedok, Tanah Merah pada Isnin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kejadian berlaku pada jam 8.10 pagi melibatkan kereta jenis Nissan Almera yang dipandu suspek memotong dan berlanggar dengan sebuah kereta orang awam jenis Perodua Viva hingga terbabas ke dalam parit.

“Anggota yang menjalankan tugas rondaan pada mulanya menerima maklumat awam memberitahu sebuah kereta berwarna kelabu membawa muatan daun ketum dari arah Jeli menghala Tanah Merah.

“Sampai di jalan tersebut, didapati kereta suspek terbabit kemalangan sementara pemuda berusia lingkungan 20-an itu melarikan diri ke dalam kawasan belukar berhampiran,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan bagi Februari Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut dalam kereta dan but menjumpai daun ketum berjumlah 500 kilogram yang dianggarkan bernilai RM5,000.

“Hasil siasatan, pasukan narkotik Tanah Merah menyerbu rumah suspek di Kampung Air Meroh, Jedok seperti alamat pada nombor pendaftaran kenderaan, namun suspek didapati tidak ada di rumah.

“Abang suspek memaklumkan kereta itu dijual kepada adiknya yang bekerja di Pasir Gudang, Johor dan tidak mengetahui kereta itu seterusnya dijual kepada siapa kerana tidak ada sebarang dokumen jual beli,” katanya.

Muhamad Zaki (tengah) memeriksa barisan kehormat di IPK pada Selasa. - Foto PDRM
Muhamad Zaki (tengah) memeriksa barisan kehormat di IPK pada Selasa. - Foto PDRM

Muhamad Zaki menambah, siasatan lanjut dan risikan untuk mengesan suspek giat dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.