Terus julang lagu Melayu klasik, usah biar lenyap dan berkubur

Dayang Nurfaizah memilih genre muzik Melayu klasik sebagai buah tangan terbaharunya.
Dayang Nurfaizah memilih genre muzik Melayu klasik sebagai buah tangan terbaharunya.
A
A
A

TULISAN rakan sejawat mengenai inisiatif Dayang Nurfaizah yang memilih genre muzik Melayu klasik sebagai buah tangan terbaharunya mempengaruhi Merak Jalanan untuk mendengar lagu alunan penyanyi itu.

Selama kira-kira sebulan, halwa telinga ini hari-hari mendengar seluruh karya dalam album Belagu I dan Belagu II.

Sebagai seorang yang selalu ‘layan’ lagu Jepun, Inggeris dan Indonesia, Merak Jalanan baru tersedar betapa hebatnya lagu Melayu kita.

Salah satu faktor yang Merak Jalanan akui, susunan muziknya yang diberi nafas baharu, namun perubahan ritma yang tidak berlebihan menjadikan setiap karya sangat disenangi.

Kita akan menjadi larut dan asyik mendengar keindahan karya-karya klasik ini. Bahasa yang digarap juga bersifat intuitif, cukup puitis dan begitu indah sehingga menyentuh kalbu.

Setiap untaian kata-kata dilihat dapat menyampaikan mesej yang tepat ke atas sesuatu perkara yang ingin diungkapkan.

Tidak keterlaluan untuk dikatakan, ciptaan lagu Melayu Klasik ‘membentuk’ keseronokan dan kepuasan jiwa yang mendengarnya.

Seperkara, penangan Dayang mendendangkan lagu-lagu khazanah bangsa ini memang tak boleh disangkal.

Namun, apabila carian dibuat, rupa-rupanya tak ramai penyanyi era ini seperti Dayang yang berusaha memperjuangkan lagu-lagu Melayu klasik.

Adakah disebabkan kurangnya minat, tiada kebolehan, tiada dana atau mereka menganggap karya-karya lama sudah tidak boleh ‘membeli’ jiwa generasi sekarang?

Kalau itu yang difikirkan, Merak Jalanan rasa pandangan itu tidak tepat. Ramai yang suka, tetapi tak didedahkan secara meluas.

Justeru, inilah tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh pemain industri untuk terus memartabatkan ritma Melayu klasik.

Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang boleh dibanggakan oleh anak Melayu.