Motac lantik ahli lembaga pengarah kalangan orang asli

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) akan melantik dari kalangan orang asli sebagai ahli lembaga pengarah di agensinya iaitu di Tourism Malaysia dan Kraftangan Malaysia.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, langkah terbaharu ini adalah selepas mengambil kira produk eko pelancongan di kawasan penempatan orang asli dan penghasilan produk berkualiti golongan orang asli di Malaysia.

Katanya, ia sebagai menyahut seruan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahukan produk kraftangan orang asli diketengahkan dan dipasarkan di kawasan tumpuan pelancong.


"Langkah ini sebenarnya diilhamkan dari ucapan Perdana Menteri dalam ucapan beliau di Konvensyen Orang Asli Kebangsaan 2019 di Putrajaya pada sebelah pagi tadi.

“Ia akan dilakukan segera dengan melantik ahli lembaga pengarah dari kalangan orang asli.

"Bagi memartabatkan lagi produk kraftangan kalangan orang asli, wakil mereka perlu berada dalam komuniti Motac untuk kita sama-sama berkongsi idea dan memasarkan produk kraf dengan lebih holistik lagi," katanya.

Datuk Mohamaddin Ketapi
Datuk Mohamaddin Ketapi

Jelas Mohamaddin, dari sudut produk eko pelancongan pula, kebanyakkan kawasan penempatan orang asli sememangnya menepati ciri-ciri eko pelancongan dan inap desa yang selayaknya di promosikan.

Menurut Mohamaddin antara tumpuan Motac kini adalah produk eko pelancongan dan kraf kerana ia menjadi antara tarikan pelancong yang berkunjung ke Malaysia.

“Pelancong bukan datang ke Malaysia untuk melihat ‘hutan batu’ kerana di negara mereka khususnya di eropah kaya dengan bangunan-bangunan ikonik mereka, sebaliknya mereka ini datang kerana mereka mahu menikmati hutan tropika kita.

“Sudah semestinya di Malaysia ini, orang asli adalah golongan yang amat mahir dengan alam sekitar dan penempatan mereka yang kebanyakkannya berada di kawasan bukit bukau adalah produk eko pelancongan terbaik," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya perbincangan lanjut akan dibuat bersama agensi terlibat bagi mengenalpasti kerusi-kerusi ahli lembaga pengarah yang boleh diisi golongan orang asli.

“Secara tidak langsung dengan adanya mereka di dalam gerak promosi dan pelan pembangunan yang digerakkan agensi-agensi itu maka ekonomi orang asli juga akan terjamin dan meningkat seperti yang dimaksudkan Tun Mahathir tadi,” katanya.