Dua kapal OPV bakal diserah tahun ini

Dua daripada tiga Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) dijangka diserahkan Maritim Malaysia pada pertengahan dan hujung tahun ini. - Gambar fail (Gambar kecil: Dr Shamsul Anuar Nasarah)
Dua daripada tiga Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) dijangka diserahkan Maritim Malaysia pada pertengahan dan hujung tahun ini. - Gambar fail (Gambar kecil: Dr Shamsul Anuar Nasarah)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua daripada tiga Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) dijangka siap dan diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), pada pertengahan dan hujung tahun ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, walaupun projek itu mengalami kelewatan daripada jadual yang sepatutnya, iaitu pada Mac dan Oktober tahun ini, tiada tambahan kos akan dikenakan terhadap kontrak itu.

"Pada masa ini, peratus kemajuan keseluruhan pembinaan ketiga-ketiga OPV Maritim Malaysia ialah sebanyak 74.62 peratus dan pihak syarikat pembina, komited untuk menyerahkan dua buah kapal OPV pada tahun ini, manakala kapal OPV terakhir (ketiga) dijangka akan diserahkan pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab usul Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini, yang mengemukakan usul mengenai penggantian segera aset-aset Maritim Malaysia yang sudah uzur.

Pada 6 Januari lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meminta projek pembinaan dua OPV disiapkan mengikut tempoh ditetapkan masing-masing iaitu pada Mac dan Oktober hadapan.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat peralihan masa bagi menyiapkan pembinaan kapal pertama, namun memaklumkan kerajaan berpendirian supaya tarikh serahan tidak diubah.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan menyuntik pinjaman berjumlah RM152.6 juta untuk memastikan projek kapal OPV milik Maritim Malaysia yang kini diambil alih Kementerian Kewangan, disiapkan pada tahun ini.

Dalam sesi yang sama, Shamsul Anuar turut memaklumkan bahawa Maritim Malaysia telah memainkan peranan yang penting, dalam memastikan perairan negara sentiasa dalam keadaan aman dan terpelihara daripada sebarang perlakuan jenayah, serta mengurangkan kehilangan nyawa dan harta benda di laut.

"Sebagai agensi tunggal penguatkuasa di laut serta peneraju dalam mencari dan menyelamat maritim, Maritim Malaysia sentiasa berusaha untuk meningkatkan kesiapsiagaan aset-asetnya bagi melaksanakan tugas-tugas yang telah diamanahkan,” katanya. - Bernama