Dua bekas jurutera antara empat terima anugerah SAY LEAD

Tengku Amir (lima dari kiri) berkenan bergambar bersama peserta selepas menyampaikan anugerah.
Tengku Amir (lima dari kiri) berkenan bergambar bersama peserta selepas menyampaikan anugerah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usahawan kayu pallet, Mohd Nooraffendi Abdul Muin, 40, dari Bandar Saujana Putra, Jenjarom terpilih memenangi tempat pertama Pusingan Akhir Liga Usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) Selangor (SAY LEAD).

Dua bekas jurutera, Amir Mohsin Mohd Bahrudin, 34, yang menjalankan perniagaan makanan di Puncak Alam menduduki tempat kedua dan usahawan kedai runcit di Saujana Impian, Irwan Fairuzi Johari, 39, pula memenangi tempat ketiga.

Noraini Mohamad Mashudi, 31, yang menjalankan khidmat cucian di bawah syarikat LavaGlow Cleaning Services berpusat di Kuala Selangor mendapat anugerah usahawan OKU harapan dalam liga yang mengangkat usaha golongan OKU itu.

Pemilihan empat pemenang tersebut dilakukan oleh juri yang diketuai Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

SAY LEAD dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan, Selangor Youth Community (SAY).

Program edisi keempat pada kali ini membabitkan seramai 20 peserta yang mengikuti kursus seperti keusahawanan, pengurusan kewangan, jenama, jualan dan pemasaran, digitalisasi perniagaan bermula Oktober tahun lalu.

Usahawan kayu pallet, Mohd Nooraffendi dari Bandar Saujana Putra, Jenjarom terpilih memenangi tempat pertama Pusingan Akhir Liga Usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) Selangor.
Usahawan kayu pallet, Mohd Nooraffendi dari Bandar Saujana Putra, Jenjarom terpilih memenangi tempat pertama Pusingan Akhir Liga Usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) Selangor.

Objektif utama baginda adalah untuk mempromosikan keterangkuman dalam kepelbagaian dan usaha mengubah ekosistem usahawan OKU di negeri Selangor untuk terus kekal mapan dalam sektor ekonomi.

Program turut mendapat sokongan daripada Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail dan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor serta Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.

Sementara itu, Mohd Nooraffendi yang mengalami kecacatan pada sebelah mata kirinya berkata, kemenangan itu menjadi penyuntik semangat untuknya mengembangkan lagi perniagaannya.

"Saya memulakan perniagaan ini empat tahun lalu, namun secara lebih serius baru dua tahun dan kemenangan ini bukan sahaja mengiktiraf golongan OKU tetapi menyuntik semangat saya untuk lebih maju di masa hadapan," katanya.

Sementara itu, dua bekas jurutera yang memenangi tempat kedua dan ketiga menganggap kemenangan mereka sebagai pemangkin semangat untuk terus maju dalam bidang diceburi selepas melalui pengalaman getir menjadi OKU.

"Saya dahulunya bekerja sebagai seorang jurutera di sebuah syarikat pemotoran di Jepun, namun ketika pulang ke tanah air saya terlibat dalam satu kemalangan menyebabkan saya hilang pekerjaan," kata Amir Mohsin.

Amir Mohsin
Amir Mohsin

Amir Mohsin berkata, kemalangan ketika menunggang motosikal di kampung halamannya pada 28 April 2018 di Kelantan itu turut menyebabkan dia koma selama enam bulan dan hanya pulih selepas menjalani rawatan yang panjang dan kini dikategorikan sebagai OKU fizikal.

Irwan Fairuzi
Irwan Fairuzi

Sementara itu, Irwan Fairuzi pula dahulunya merupakan jurutera perisian di sebuah syarikat perbankan terkemuka tanah air, namun diberhentikan kerja pada tahun 2019 selepas menghidap penyakit saraf selama lima tahun bermula 2014.

"Syukur dengan anugerah yang diterima dan ini juga merupakan anugerah istimewa bagi saya yang kebetulan menyambut hari lahir yang ke-39 pada hari ini (27 Februari)," kata bapa dua anak itu ketika ditemui Sinar Harian.

Kesemua pemenang layak ke peringkat seterusnya iaitu SAY LEAD dan peserta juga akan dibimbing selama setahun untuk membantu mereka mengembangkan perniagaan melalui akses pasaran baharu, digitalisasi perniagaan dan pasaran eksport.