Menu Rahmah: Dr Halimah buat permohonan maaf

Dr Halimah
Dr Halimah
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali membuat permohonan maaf di Dewan Rakyat susulan ucapannya mengenai Menu Rahmah sebelum ini yang disifatkan telah disalah erti ramai pihak.

Permohonan maaf dibuat dengan membacakan beberapa rangkap gurindam.

“Kalau ada jarum peniti, jangan disimpan di dalam peti. Andai kata ucapan disalah erti, saya menyusun sepuluh jari.

“Niat di hati suara rakyat saya juarai. Semak imbang kerajaan Madani biar integriti, bukankah itu peranan hakiki?.

“Selaku wakil rakyat, suara rakyat yang diwakili. Sudi kiranya rujuk penyata rasmi, muka surat 134 hingga 137 pada 14 Februari. Terima kasih yang Dipertua yang bijak bestari,” katanya.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, beliau telah memanggil Dr Halimah setelah mendapat permohonan daripada Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH - Bandar Kuching) yang meminta penjelasan Kapar.

“Kapar telah buat persetujuan. Itu gurindam yang menjawab persoalan kita,” katanya.

Halimah sebelum ini dilapor membuat ucapan kontroversi di Dewan Rakyat minggu lalu yang mengaitkan Menu Rahmah dengan risiko kesihatan.