Bergaduh kerana tidak diberi laluan potong kenderaan

Tangkap layar memaparkan pergaduhan melibatkan tiga lelaki pada Ahad.
Tangkap layar memaparkan pergaduhan melibatkan tiga lelaki pada Ahad.
A
A
A

DUNGUN - Pergaduhan melibatkan tiga lelaki di hadapan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), di sini yang tular dalam media sosial dipercayai berpunca dari rasa tidak puas hati kerana tidak memberi laluan untuk memotong kenderaan.

Video berdurasi 1.52 minit itu dipercayai dirakam oleh seorang pengguna jalan raya kira-kira jam 8.30 pagi Ahad.

Rakaman tersebut memaparkan lelaki berbaju putih sedang bergelut dengan lelaki memakai baju hitam manakala seorang lelaki berkopiah turut kelihatan dalam video berkenaan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, susulan kejadian itu polis sudah memanggil kedua-dua pihak untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun.

Katanya, punca kejadian dipercayai berlaku ekoran rasa tidak puas hati ketika salah seorang pemandu tidak memberi laluan untuk memotong kenderaan di depannya.

"Kedua-dua pihak sudah membuat laporan polis dan kertas siasatan berhubung kejadian ini juga telah pun dibuka.

"Kes masih dalam siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk mendapatkan arahan lanjut dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu atau menunggang dengan gopoh di jalan awam, Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana gaduh gempar dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

Baharudin turut menasihati orang ramai dan pengguna supaya bersikap toleransi dan lebih bertolak ansur ketika berada di jalan raya.

"Patuhi peraturan jalan raya dan tidak mengambil tindakan yang menyalahi undang-undang," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!