Dana RM5 juta kepada Yakeb: Kerajaan bela nasib bekas atlet negara

AZIZUL FAHMI AHMAD ZABIDI

Hannah (tengah) menghadiri pelancaran Kejohanan Skuasy WSF&PSA Satelit 2023 di Kuala Lumpur pada Sabtu. -Foto Bernama
Hannah (tengah) menghadiri pelancaran Kejohanan Skuasy WSF&PSA Satelit 2023 di Kuala Lumpur pada Sabtu. -Foto Bernama
A
A
A

PERUNTUKAN RM5 juta kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 diharap dapat membantu lebih ramai bekas atlet negara.

Malah, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berharap dana itu dapat mampu menepis stigma buruk berkaitan kebajikan bekas atlet di negara ini yang mana kerajaan sentiasa menyalurkan bantuan.

"Selalu saya dihantar video apabila ada atlet yang sakit, atlet jual tisu, atlet yang jual macam-macam di luar dan orang akan memberi gambaran bahawa kerajaan tak jaga mereka.

"Jadi, peruntukan kepada Yakeb ini sangat penting, untuk memastikan perkara asas kita dapat salurkan bagi membantu atlet yang betul-betul memerlukan.

"Seperti saya kata, perkara ini mempunyai kesan panjang. Kita nak pastikan lebih ramai atlet menyertai bidang sukan secara sepenuh masa.

"Tetapi kalau ibu bapa lihat kebajikan bekas atlet tak dijaga, ibu bapa juga takut dan tarik anak mereka keluar daripada melibatkan diri dalam bidang itu.

"Jadi saya harap dengan adanya peruntukan RM5 juta, kebajikan bekas atlet lebih terurus dan kita mampu untuk jaga lebih ramai," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Kejohanan Satelit Persekutuan Skuasy Sedunia (WSF) dan Persatuan Skuasy Profesional (PSA) di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Pada Jumaat, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Yakeb akan menerima dana RM5 juta bermula tahun ini bagi memelihara dan melindungi kebajikan atlet.

Dalam pada itu, Kejohanan Skuasy WSF&PSA Satelit 2023 adalah yang julung kali diadakan di Malaysia dan ia mampu meningkatkan ranking pemain tempatan.

"Atlet kita perlu lebih banyak platform untuk bertanding sekali gus mampu membantu mereka meningkatkan atau memperbaiki ranking seseorang pemain (melayakkan diri bermain di pentas antarabangsa).

"Kita kena faham bila atlet tidak menyertai mana-mana pertandingan mereka tidak mampu membuktikan kebolehan mereka jadi bila ada kejohanan seperti ini, baru atlet tahu apa mereka mahu buat dalam karier," jelas Hannah.

Sebanyak 11 kejohanan satelit PSA dijadual berlangsung pada Mac, Jun, Julai, Ogos, Oktober, November dan Disember di seluruh negara.

Antaranya di Pusat Skuasy Bukit Jalil, Pusat Skuasy Antarabangsa Nicol David dan Kelab Diraja Sungei Ujong, Seremban. Kejohanan pertama berlangsung di Kelab Diraja Sungei Ujong pada 16 Februari lalu.

Setiap kejohanan akan melibatkan 32 pemain untuk kategori lelaki dan wanita, mengikut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan PSA.