Bahan letupan belerang dipercayai punca bumbung Myvi berlubang

Kereta Perodua Myvi milik mangsa rosak pada bahagian bumbung dalam letupan di Padang Jawa ada 17 Februari lalu.
Kereta Perodua Myvi milik mangsa rosak pada bahagian bumbung dalam letupan di Padang Jawa ada 17 Februari lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Letupan yang berlaku hingga menyebabkan bumbung sebuah kereta Perodua Myvi berlubang dalam kejadian di Padang Jawa pada 17 Februari lalu dipercayai akibat daripada bahan letupan jenis belerang.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal daripada pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Forensik Bukit Aman serta Unit Pemusnah Bom mendapati bahan letupan tersebut dihasilkan oleh individu yang berpengetahuan dalam penghasilan bom.

"Siasatan dijalankan mendapati bahan letupan digunakan melibatkan letupan ringan yang dipercayai menggunakan serbuk belerang.

"Teknik yang digunakan untuk menyebabkan letupan adalah teknik bakar kerana pemeriksaan dijalankan menjumpai sumbu dipercayai digunakan untuk memulakan letupan tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Keadaan dalam kereta milik mangsa yang rosak.
Keadaan dalam kereta milik mangsa yang rosak.

Katanya, seramai 10 individu telah dirakam percakapan berhubung kejadian letupan terbabit.

"Siasatan lanjut berkaitan kejadian ini masih dijalankan dan sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohammad Khairi di talian 012-2666025.

"Kes disiasat bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan," katanya.

Pasukan forensik menjalankan siasatan di tempat kejadian.
Pasukan forensik menjalankan siasatan di tempat kejadian.

Pada 17 Februari lalu, suasana di sebuah kawasan perumahan di Padang Jawa di sini digemparkan dengan bunyi letupan kira-kira jam 3.50 pagi.

Kejadian tersebut mengakibatkan bumbung kereta jenis Perodua Myvi milik seorang individu berlubang dipercayai hasil gelombang akibat letupan tersebut.

Bagaimanapun, insiden terbabit tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.