PRN: Sekretariat Kerajaan Perpaduan bertemu 19 Mac ini

Saifuddin pada sidang akhbar selepas hadir Konvensyen PH Kedah di Dewan Persatuan Pendidikan Akhlak Lip Seang Kor, Sungai Petani pada Sabtu.
Saifuddin pada sidang akhbar selepas hadir Konvensyen PH Kedah di Dewan Persatuan Pendidikan Akhlak Lip Seang Kor, Sungai Petani pada Sabtu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia akan bertemu pada 19 Mac depan untuk membentangkan laporan pertama rundingan semua parti dalam kerajaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perundingan sedang berlangsung di peringkat PH membabitkan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) sebelum memasuki fasa berikutnya.

Menurutnya, keputusan rundingan kerusi antara parti PH dibawa ke peringkat Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia dan dibincangkan bersama Barisan Nasional (BN) bagi menentukan pembahagian kerusi dua gabungan tersebut.

"Ketua Sekretariat (Kerajaan Perpaduan) Datuk Dr Asyraf (Wajdi Dusuki) memaklumkan jadual pertemuan antara pimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan akan berlangsung pada 19 Mac.

"Kami di peringkat jawatankuasa perlu menyiapkan laporan sebelum tarikh itu. Jadi perkara berkaitan perundingan kerusi di peringkat PH sedang berlaku sekarang melibatkan enam negeri ini," katanya pada sidang akhbar pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Konvensyen PH Kedah di Dewan Persatuan Pendidikan Akhlak Lip Seang Kor, dekat sini.

Saifuddin berkata, rundingan tersebut penting bagi memastikan tidak berlaku pertembungan di antara PH dan BN pada PRN di Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu, Kelantan dan Kedah.

"Apabila kami duduk dengan BN barulah kita tengok balik, tapi yang pentingnya adalah kesediaan dua blok ini untuk duduk bersama sebab dua gabungan ini (PH dan BN) penting.

"Kalau macam di Kedah ini lebih penting sebab kita nak elakkan tiga penjuru, sudah pasti kita nak masuk pilihan raya ini dengan kombinasi PH dan BN sebagai dua komponen penting dalam unity government ini," ujar beliau lagi.

Pada 7 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia mengumumkan penubuhan tiga jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Strategi, Jawatankuasa Pilihan Raya dan Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik bagi menghadapi PRN di enam negeri.