Lelaki menyamar penjawat awam untuk curi kereta diberkas

Polis berjaya merampas kembali kenderaan dicuri berserta kunci.
Polis berjaya merampas kembali kenderaan dicuri berserta kunci.
A
A
A

AMPANG - Menggunakan uniform lengkap seperti anggota polis, seorang suspek lelaki memperdaya seorang jurujual dengan membawa lari kenderaan semasa pandu uji dilakukan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam satu kejadian pada 15 Februari lalu sekitar jam 11.20 pagi, seorang lelaki menyamar sebagai pelanggan yang ingin memandu uji sebuah kenderaan jenis Honda Civic FK8 Type R berwarna hitam.

Katanya, lelaki tersebut datang ke pusat jualan kenderaan di Jalan Ampang Hilir, Off Jalan Ampang, dekat sini menaiki sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi berwarna putih dengan dipandu oleh seorang lagi individu lain.

Menurutnya, pengadu yang merupakan lelaki tempatan berumur 26 tahun bekerja sebagai jurujual semasa berada di tempat kejadian mendapati pelanggan tersebut memakai uniform lengkap seperti anggota polis.

"Pada jam lebih kurang 12 tengah hari, suspek yang berlagak sebagai pelanggan memandu kenderaan yang mahu dipandu uji manakala pengadu duduk di bahagian penumpang hadapan.

"Apabila sampai di sebuah stesen minyak di Pandan Jaya, pelanggan tersebut telah meminta pengadu (jurujual) untuk membelikan top up.

Beberapa barangan dirampas termasuk sepasang uniform operasi PDRM.
Beberapa barangan dirampas termasuk sepasang uniform operasi PDRM.

"Sebaik sahaja pengadu turun dari kenderaan, suspek terus bertindak melarikan kenderaan dipandu uji dan kerugian dianggarkan berjumlah RM270,000," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ekoran daripada kejadian itu, Mohamad Farouk berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menjalankan siasatan dan membawa kepada beberapa siri tangkapan pada 18 Februari lalu sekitar jam 12.50 tengah hari serta 12.20 pagi ini.

Menurutnya, pihak polis berjaya menangkap tiga lelaki tempatan dan seorang perempuan tempatan berusia 30 hingga 40 tahun.

Jelasnya, tangkapan dilakukan di kawasan Selayang, Selangor dan di sekitar Alor Setar serta Jitra, Kedah.

Katanya, dua orang suspek tidak bekerja, manakala seorang suspek adalah pekerja bengkel dan seorang lagi penjaja makanan.

"Polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi berserta kunci yang digunakan semasa kejadian, sebuah kenderaan Honda KH8 berserta kunci dan peralatan kenderaan ini yang telah dibuka iaitu kenderaan yang dicuri.

"Selain itu, polis turut merampas sepasang uniform operasi PDRM serta peralatan lain iaitu pelbagai resit, beberapa buah telefon bimbit serta beberapa peralatan lain untuk membantu siasatan.

"Modus operandi suspek adalah menyamar polis dan mencuri kenderaan dengan memperdaya jurujual untuk keluar dari kenderaan, seterusnya bertindak melarikan kenderaan.

"Suspek juga dipercayai mencuri kenderaan untuk dijual. Suspek telah ditahan reman selama hari empat hari sehingga 28 Februari ini," katanya.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu mencuri kenderaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga tujuh tahun atau denda.

Menurutnya, kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu menyamar sebagai penjawat awam dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga dua tahun atau denda.

"Pihak polis memberi amaran dan nasihat kepada orang ramai terutama penjual kenderaan mewah supaya tidak terpengaruh dengan modus operandi seperti ini, malah sentiasa berhati-hati sepanjang proses jual beli," katanya.