Padah berlagak samseng, dua lelaki ditahan polis

No Image Caption
A
A
A

KULAI - Polis menahan dua lelaki susulan tindakan mereka menahan sebuah bas dan bertindak seperti samseng jalanan di Jalan Batu 21 Kulai Besar, di sini pada Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, kedua-dua lelaki berusia 32 dan 42 tahun itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kulai ketika datang membuat laporan polis dipercayai berkaitan kemalangan berkenaan.

“Sekitar 9.05 pagi Sabtu, polis kesan satu video berdurasi satu minit yang dimuat naik pemilik akaun twitter yang memaparkan dua lelaki cuba menahan sebuah bas.

“Kedua-dua lelaki berkenaan turut bertindak seperti samseng apabila dilaporkan turun daripada sebuah kereta BMW berwarna hitam dalam keadaan mabuk sambil turut menghentak sisi bas dengan tangan.

“Bagaimanapun, tiada sebarang kerosakan dilaporkan hasil daripada tindakan kedua-dua lelaki berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Sabtu..

Susulan kejadian berkenaan, kedua-dua suspek kini ditahan polis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.