MATTA Fair Perak 2023 sasar jana jualan RM23 juta

Sze Yee (empat sari kanan) melawat reruai yang menyertai pameran MATTA Fair Perak 2023.
Sze Yee (empat sari kanan) melawat reruai yang menyertai pameran MATTA Fair Perak 2023.
A
A
A

IPOH - Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Perak dijangka dapat menjana jualan sehingga RM23 juta menerusi tawaran menarik yang disediakan dengan sasaran lebih 20,000 pengunjung.

Pengerusi MATTA Cawangan Perak, Chong Yu Ken berkata, penganjuran terbesar yang berlangsung selama dua hari melibatkan lebih 30 organisasi termasuk Tourism Perak, Tourism Malaysia, Tourism Melaka, Tourism Pahang dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

"Industri pelancongan ini dijangka lebih mengukuh selepas pandemik Covid-19 yang mana orang ramai tidak sabar untuk melancong lagi.

"Saya yakin pameran ini akan memberi peluang kepada pengembara untuk meneroka lebih lanjut lokasi yang mereka ingin lawati di rantau ini," katanya ketika berucap pada majlis perasmian MATTA Fair Perak di Pusat Konvensyen Ipoh di sini pada Sabtu.

Sze Yee (kanan) dan Yu Ken (dua sari kanan) memegang plak pada gimik perasmian MATTA Fair Perak 2023 di Ipoh pada Sabtu.
Sze Yee (kanan) dan Yu Ken (dua sari kanan) memegang plak pada gimik perasmian MATTA Fair Perak 2023 di Ipoh pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee; Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin; Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa dan Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man.

Menurut beliau, pihaknya turut memfokuskan untuk membangunkan lebih banyak produk pelancongan baharu.

"Kami akan melabur dalam inisiatif baharu dan kerja-kerja promosi dengan mempamerkan daya tarikan unik pelancongan Perak termasuk alam semulajadi, makanan, warisan serta budaya.

Yu Ken (tengah) menemani Sze Yee (dua dari kanan) melawat reruai yang disediakan dalam pameran MATTA Fair Perak 2023 di Ipoh.
Yu Ken (tengah) menemani Sze Yee (dua dari kanan) melawat reruai yang disediakan dalam pameran MATTA Fair Perak 2023 di Ipoh.

"Kita perlu membina naratif pengalaman lawatan contohnya Taman Negeri Royal Belum dan Lembah Lenggong, kita bukan sahaja menekankan uniknya taman negara tetapi juga jenis tumbuhan yang ada. Dari sini kita boleh memperluaskan pengalaman dengan mencipta lawatan citarasa makanan yang menyentuh budaya Cina, Melayu dan India.

"Kami percaya inisiatif ini akan meningkatkan lagi tarikan pelancongan negeri dan mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi pelancongan utama," katanya.

Yu Ken berkata, pameran MATTA Fair kali ini menjadi satu penanda aras membuka landasan baharu dengan mencipta pengalaman unik buat pelanggan dan pelawat.

Sementara itu, Sze Yee berkata, penganjuran MATTA Fair ke-30 itu menjadi batu loncatan kepada Tahun Melawat Ipoh 2023 dan Tahun Melawat Perak 2024.

Sze Yee (depan, tengah) bersama tetamu yang hadir pada pameran MATTA Fair Perak 2023 di Ipoh.
Sze Yee (depan, tengah) bersama tetamu yang hadir pada pameran MATTA Fair Perak 2023 di Ipoh.

"Ini merupakan satu platform baik untuk menemukan penyedia perkhidmatan pelancongan dengan pengguna di bawah satu bumbung bagi mendapatkan pelbagai pakej pelancongan menarik.

"Industri pelancongan antara pemangkin ekonomi negara dan acara MATTA Fair ini dapat menarik minat umum untuk terus melancong sama ada secara domestik atau antarabangsa," katanya.