Mohd Shahar tawar diri tanding Ketua Pemuda UMNO

Mohd Shahar menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti itu bagi penggal 2023-2026.
Mohd Shahar menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti itu bagi penggal 2023-2026.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti itu bagi penggal 2023-2026.

Mohd Shahar yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan I berkata, beliau mahu memastikan Pemuda UMNO akan terus menjadi barisan hadapan parti terutama melibatkan isu kepentingan rakyat.

"Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 dengan keadaan politik semasa yang sangat dinamik dan sentiasa berubah-ubah, UMNO sudah pastinya akan menghadapi cabaran dan badai lebih besar untuk terus kekal relevan dan menjadi suara kepada rakyat.

"Tekad saya adalah untuk memastikan Ahli Pemuda UMNO akan terus menjadi barisan hadapan parti dan juru bicara rakyat utama dalam segenap lapisan isu melibatkan kepentingan rakyat.

"Paling utama sekali adalah penyuburan Pemuda UMNO di peringkat akar umbi perlu dilakukan segera bagi memastikan penyatuan dan kekuatan kita sebagai Pemuda sentiasa utuh untuk sederap selangkah melangkah ke hadapan dan menjadi perisai parti keramat yang kita sayangi ini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pemilihan UMNO diadakan bermula 1 Februari lepas hingga 18 Mac ini dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan pada 1 hingga 26 Februari.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Pusat pula bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pula diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac.

Tambah Mohd Shahar, beliau akan sedaya upaya memberi seluruh usaha, tenaga, jiwa dan raga untuk memimpin Pemuda UMNO sampai ke tahap yang diyakini rakyat sebagai pemimpin sekali gus membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada negara secara menyeluruh.

Justeru, beliau memohon doa dan sokongan daripada Perwakilan Pemuda UMNO seluruh negara untuk memberikan peluang kepadanya menerajui parti berkenaan dengan lebih baik.

"Saya beriltizam untuk memimpin Pemuda UMNO Malaysia agar kita dapat berusaha bersama-sama memastikan parti yang kita sayangi bersama ini terus menjadi pilihan rakyat terutama anak-anak muda," jelasnya.