'Tak lupa janji banglo RM1 juta untuk pencipta lagu Selangor'

Amirudin - Foto Bernama
Amirudin - Foto Bernama
A
A
A

GOMBAK - Kerajaan negeri tidak lupa janji untuk menghadiahkan sebuah rumah banglo bernilai RM1 juta kepada pencipta lagu negeri Selangor, Allahyarham Saiful Bahri Elyas.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya bagaimanapun memerlukan sedikit masa untuk memastikan rumah tersebut dalam keadaan sempurna sebelum diserahkan kepada waris.

"Insya-ALLAH dalam track record (rekod prestasi) kerajaan negeri tidak pernah menipu orang, harap mereka bersabar.

"Hadiah tersebut merupakan idea saya sendiri, ia boleh diselesaikan dalam masa terdekat.



"Saya percaya sebelum Aidilfitri, perkara ini boleh diselesaikan," katanya ketika ditemui pada Jelajah Kita Selangor Penyayang di Tapak Bazar Ramadan, Taman Melawati di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas waris pencipta lagu Selangor yang menuntut kerajaan negeri menunaikan janji menghadiahkan rumah banglo kepada mereka.

Qus Nafiah, 51, yang merupakan anak ketiga Saiful Bahri mendakwa, sehingga kini pihak berkaitan belum memberi perkembangan tepat mengenai rumah berkenaan.

Amirudin berkata, kerajaan negeri menawarkan rumah di Setia Alam dan Shah Alam untuk dipilih oleh mereka.

Ditanya dakwaan sukar bertemu beliau bagi mendapatkan kepastian berkenaan janji tersebut, Amirudin menjelaskan, perkara tersebut sudah dalam perhatian.

"Mungkin masa mereka nak jumpa, sedang dalam PRU (pilihan raya umum), sidang Parlimen dan banyak kerja lain yang perlu dibuat.

"Jaminan saya, waris tidak perlu risau kerana kerajaan negeri akan berikan dan harga rumah tersebut bernilai RM1 juta," katanya.