'Jaga kesejahteraan kanak-kanak, perkasa wanita' - Nancy

Nancy
Nancy
A
A
A

SHAH ALAM - Pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan menjaga kesejahteraan kanak-kanak dan memperkasakan kerjaya wanita.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementeriannya merakamkan penghargaan dan terima kasih di atas sokongan Menteri Kewangan itu dalam mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak.

“Dengan pengumuman ini, KPWKM (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) bersedia untuk bekerjasama rapat dengan agensi-agensi pusat seperti Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam dalam memperincikan jabatan ini secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Semasa pembentangan Belanjawan 2023, Anwar memaklumkan bahawa KPWKM akan mewujudkan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memberikan perkhidmatan sokongan lebih komprehensif kepada kanak-kanak.

Menurut Anwar, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) akan bertindak lebih agresif dalam menyiasat kes-kes seksual membabitkan mangsa wanita dan kanak-kanak.

Tambah Nancy, KPWKM sedia membantu PDRM untuk membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak demi keselamatan dan kesejahteraan golongan tersebut.

“KPWKM juga mengalu-alukan inisiatif di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk menggalakkan wanita yang sebelum ini terpaksa berhenti kerja selepas tempoh cuti bersalin untuk menjaga anak-anak,” katanya.

Jelas beliau, dengan pindaan akta yang akan dibawa oleh Kementerian Sumber Manusia itu, ia menjadi pemangkin dan menyuntik semangat golongan ibu untuk terus berjaya dalam kerjaya dan profesion mereka.