Mayat pemancing lemas ditemui terapung

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk tindakan lanjut.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk tindakan lanjut.
A
A
A

KLANG - Seorang pemancing yang dikhuatiri lemas setelah sampan yang dinaikinya dilanggar bot pukat tunda ditemui nelayan di sekitar perairan Kapar di sini pada Jumaat.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira jam 2.30 petang tadi sebelum dilaporkan kepada pihaknya.

"Maritim Malaysia kemudiannya menggerakkan bot Perkasa 36 ke lokasi kejadian dan menemukan satu mayat lelaki dalam keadaan terapung.

"Mayat mangsa dibawa ke Jeti Pangkalan Nelayan Sementa bagi proses pengecaman oleh ahli keluarga sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, pengecaman dijalankan oleh ahli keluarga mangsa mengesahkan mayat itu merupakan individu yang lemas pada Khamis lalu.

"Operasi pencarian kemudiannya ditamatkan kira-kira jam jam 5 petang," katanya.

Pada Khamis, seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas sampan yang dinaikinya dilanggar sebuah bot pukat tunda dalam kejadian di kawasan perairan Sementa, Kapar di sini.

Mangsa dipercayai gagal berenang akibat kekejangan dan dikhuatiri dihanyutkan manakala seorang rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi pantai.