RM36.2 bilion untuk KDN, Mindef kukuh keselamatan negara

Sebanyak RM4.1 bilion diperuntukkan untuk menyelenggara dan membeli aset-aset ATM. - Foto Bernama
Sebanyak RM4.1 bilion diperuntukkan untuk menyelenggara dan membeli aset-aset ATM. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Belanjawan 2023 memperuntukkan sebanyak RM18.5 bilion dan RM17.7 bilion masing-masing kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan peruntukan itu adalah untuk menyelenggara dan membeli aset-aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan dengan peruntukan hampir RM4.1 bilion.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi mengukuhkan keupayaan tahap pertahanan dan kawalan maritim negara, kerajaan akan melaksanakan perolehan kapal misi pesisir (LMS) pada tahun ini.

"Sementara itu, agensi-agensi di bawah KDN akan disediakan hampir RM1 bilion bagi memperkasa keselamatan dalam negeri antaranya untuk memperoleh lebih 2,100 unit kamera badan Polis Diraja Malaysia.

"Sebuah Ibu Pejabat Kontinjen Perak dan kuarters polis baharu akan dibina dengan kos RM450 juta,” kata beliau ketika membentangkan belanjawan yang bertemakan 'Membangun Malaysia Madani’ di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Belanjawan 2023 sebelum ini dibentangkan oleh kerajaan terdahulu pada 7 Oktober tahun lepas yang memperuntukkan sejumlah RM372.3 bilion.

Bagaimanapun, belanjawan itu tidak sempat dibahas dan diluluskan susulan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober yang memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Anwar berkata, kerajaan juga akan menambah 42 pos kawalan sempadan polis Pasukan Gerakan Am, Jabatan Imigresen, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) bagi memperketat kawalan sempadan negara selain menyelenggara semua kapal dan bot Maritim Malaysia. - Bernama