LTAT sambut baik Program Kerjaya Kedua Veteran ATM

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Bangunan Parlimen hari ini. -Foto Bernama
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Bangunan Parlimen hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menyokong penuh inisiatif Kerajaan dalam mengembangkan Program Kerjaya Kedua Veteran ATM melibatkan seramai 5,000 veteran yang akan berpencen tahun ini.

Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Nazim Rahman berkata, kumpulan syarikat LTAT serta rakan strategik yang lain akan bekerjasama dalam menyediakan latihan kemahiran yang komprehensif untuk meningkatkan peluang pekerjaan serta penjanaan pendapatan sekali gus memberi perlindungan sosial yang diperlukan oleh veteran.

“Di LTAT, kebajikan dan perlindungan sosial penyumbang kami, veteran masa depan dan semasa, adalah asas mandat organisasi kami.

"Kami berbesar hati kerana diberi peluang untuk merealisasikan usaha Kerajaan demi kepentingan terbaik penyumbang kami, yang merupakan pemegang taruh utama LTAT,"katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM388.1 bilion bagi Belanjawan 2023 yang dibentangkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM289.1 bilion untuk belanja mengurus dan RM99 bilion bagi belanja pembangunan dan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Mengulas lanjut, Nazim berkata, beliau melihat inisiatif Belanjawan 2023 sebagai perkara yang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi kerana mampu menangani isu keterjaminan makanan selaras dengan agenda nasional negara serta meningkatkan peluang pekerjaan.

"Secara holistiknya, hal ini akan meningkatkan daya saing negara ke arah menjadikan Malaysia negara yang maju.

"LTAT dan Kumpulan-Kumpulan Syarikat yang lain akan kekal teguh dalam melaksanakan tugas kami dan menyampaikan nilai tambah kepada pihak berkepentingan,” katanya.

Dalam pada itu, LTAT akan meneruskan Pelan Transformasi bagi mengukuhkan lagi peranannya sebagai sebuah dana persaraan berprestij tinggi dan bertaraf dunia.