Perkeso akan pinda akta galak wanita kembali bekerja

Perkeso akan meminda aktanya bagi menggalakkan kaum wanita kembali bekerja.
Perkeso akan meminda aktanya bagi menggalakkan kaum wanita kembali bekerja.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan meminda aktanya untuk membolehkan pemberian geran bersamaan 80 peratus daripada nilai gaji yang diinsuranskan pekerja bagi menggalakkan kaum wanita kembali bekerja, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, dianggarkan lebih 130,000 wanita yang kembali bekerja selepas bersalin akan mendapat manfaat daripada geran itu yang melibatkan dana keseluruhan RM290 juta setahun.

Selain itu, beliau menyeru majikan supaya memainkan peranan untuk menyediakan pusat jagaan kanak-kanak di pejabat.

"Selama ini pusat jagaan hanya disediakan kerajaan, jadi kita harus pantau supaya syarikat-syarikat besar dan kaya sepatutnya menyediakan tempat untuk bayi dan kanak-kanak sementara ibu bekerja,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Anwar berkata, kerajaan akan menyediakan subsidi yuran taska sebanyak RM180 sebulan kepada penjawat awam, selain menaikkan had kelayakan pendapatan bulanan isi rumah yang layak daripada RM5,000 kepada RM7,000.

Bagi memperluas akses pendidikan awal kanak-kanak, beliau berkata, kerajaan akan meneruskan pembinaan 80 buah taska dan tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) termasuk 13 projek baharu.

Belanjawan 2023 memperuntukkan sejumlah RM388.1 bilion, dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion belanja pembangunan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka. - Bernama