RM324 juta untuk program latihan, kemudahan sukan

Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2023 Dewan Rakyat pada Jumaat. - Foto Bernama
Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2023 Dewan Rakyat pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ssebanyak RM324 juta dana diperuntukkan sebagai agenda menambah baik program latihan dan kemudahan sukan melalui Belanjawan 2023.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah dana itu juga turut diperuntukkan kepada atlet paralimpik negara sekali gus membangunkan ekosistem sukan yang menyeluruh.

"Peruntukan ini antaranya untuk membangunkan ekosistem sukan yang menyeluruh daripada pencarian bakat sehingga ke acara podium serta untuk tujuan penyelenggaraan dan menaik taraf kemudahan sukan di seluruh negara," katanya yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Beliau berkata, keutamaan juga diberikan kepada program sukan, kebudayaan, kesenian di peringkat sekolah dan komuniti dengan memastikan penglibatan belia dan semua jenis sekolah secara silang budaya.

"Sebanyak RM20 juta disediakan bagi program tersebut. Bagi menjayakan program-program ini, kerajaan akan menyediakan dana geran padanan RM50 juta bagi mendorong penajaan sektor swasta untuk program sukan, khususnya sukan berteraskan perpaduan.

"Selain itu, kerajaan juga bersetuju potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat diberi kepada individu atau syarikat yang menyumbang kepada organisasi bukan berasaskan keuntungan yang melaksanakan program pembangunan sukan di peringkat akar umbi," katanya.

Menurut Anwar, sebanyak RM5 juta juga disediakan kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) bermula tahun ini.

"Dalam masa sama, kerajaan turut bercadang untuk memberi potongan cukai kepada majikan yang menggaji bekas atlet negara.

"Ia akan dapat menjamin semua bekas atlet diberikan keutamaan dan mendapat pekerjaan yang setimpal," katanya.

Beliau mejelaskan, belanjawan dengan tema Membangun Malaysia Madani itu juga turut melihat sukan dan budaya penting dalam pembangunan aspek kerohanian masyarakat.

"Selain dalam bentuk pertandingan, ia juga satu wahana yang ampuh dalam menyemarak kebhinekaan dalam kalangan rakyat yang rencam kaum dan agama.

"Pentadbiran ini akan menumpukan kepada program perpaduan yang berlandaskan penerapan nilai-nilai murni antara kaum," katanya.