Kerajaan peruntuk RM64 bilion bantu rakyat tangani kos sara hidup

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan pada tahun ini telah memperuntukkan sejumlah RM64 bilion dalam bentuk subsidi, bantuan dan insentif sebagai usaha mengurangkan beban hidup rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dana besar itu bertujuan meminimumkan kos sara hidup melalui kawalan harga barang, bantuan kewangan dan memberi perkhidmatan kepada kebanyakan rakyat.

Menurut beliau, antaranya termasuklah memperkenalkan konsep Payung Rahmah sebagai induk kepada usaha membantu golongan susah dan rentan.

“Salah satunya ialah Inisiatif Menu Rahmah yang menganjurkan jualan set hidangan pada harga hanya RM5.

“Alhamdulillah Inisiatif 52 Menu Rahmah ini dijangka terus menerima sambutan yang baik daripada pengusaha makanan dan rakyat.

“Kerajaan amat berterima kasih kepada semua peniaga, walau dengan keuntungan kecil tapi tetap bersama membantu rakyat,” katanya yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Ujar beliau, kerajaan juga melaksanakan Jualan Rahmah yang menawarkan barangan asas dengan harga sehingga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran.

Anwar memberitahu, kerajaan turut menyediakan RM100 juta untuk menjayakan program tersebut di setiap 222 kawasan Parlimen.

“Kita juga akan meningkatkan peruntukan daripada RM200 juta kepada RM225 juta bagi memperluas program pengedaran barangan keperluan asas ke 25 kawasan baharu antaranya di Paloh dan Passin, Sarawak, Pasir Raja, Terengganu dan Kuala Krai, Kelantan,” jelasnya.

..........................................................................................................................................

Kerajaan telah membayar bantuan kebajikan bernilai RM2.5 bilion kepada lebih 400,000 penerima yang layak, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, bagi menyegerakan data dikemaskini dan memastikan tiada individu yang tercicir daripada menerima bantuan, kerajaan akan melaksanakan pemutihan senarai penerima bantuan bulanan kerajaan.

“Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan diletakkan di bawah satu pangkalan data,” katanya yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Dalam masa sama, tambah Ahli Parlimen Tambun itu, kerajaan negeri juga turut memainkan peranan tersendiri dalam memberikan bantuan kepada golongan sasar itu.

“Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah telah bersetuju untuk meneruskan program pembasmian sebahagian bayaran hasil petroleum ke Sarawak dan Sabah bagi program-program pembasmian kemiskinan,” ujarnya.

Selaras dengan itu, jelasnya, Kementerian Kewangan juga akan memperuntukkan sebahagian daripada Wang Ehsan Kelantan dan Terengganu supaya disalurkan secara langsung untuk membantu golongan miskin.