Anwar hantar notis tuntutan kedua kepada Awang

Anwar (kiri) mengemukakan surat tuntutan (LOD) kedua kepada Awang pada Jumaat.
Anwar (kiri) mengemukakan surat tuntutan (LOD) kedua kepada Awang pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan surat tuntutan (LOD) kedua kepada Datuk Awang Hashim, berhubung kenyataan fitnah dan menuntut permohonan maaf daripada Ahli Parlimen Pendang itu kerana mempersoalkan kesahihan pelantikannya sebagai Perdana Menteri.

LOD itu disediakan oleh firma guaman, Tetuan S N Nair dan Partners, dihantar kepada Awang di Pejabat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Kampung Gajah Mati, Pendang, bertarikh Jumaat.

Menerusi dokumen yang diperoleh, Anwar berkata, pemimpin Pas itu membuat kenyataan tersebut kepada pihak pemberita di lobi di luar Dewan Rakyat yang merujuk secara langsung kepada Anwar dan disiarkan dalam aplikasi TikTok menggunakan akaun atas nama '@asriasri64chanel' sehari kemudian.

Ia telah ditonton 20,600 kali dan menerima 322 komen, 159 tanda suka, 19 tanda kegemaran dan 47 perkongsian pada tuntutan itu dikeluarkan.

Perkataan memfitnah tersebut juga telah dipetik, diterbitkan semula dalam artikel sebuah portal bertajuk "MP PAS: Sikap pendendam Anwar lebih teruk daripada Mahathir bertarikh 21 Februari 2023 jam 2.39 petang, yang boleh diakses di pautan di sebuah laman web.

Anwar menegaskan bahawa kenyataan fitnah diterbitkan semula dengan niat jahat dan 'mala fides' sedangkan ia tidak benar, palsu dan bersifat kepura-puraan selain berselitkan helah kerana mempersoalkan kebijaksanaan dan kesahihan kuasa Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, beliau dijemput secara rasmi untuk menghadap Agong dan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri selepas Seri Paduka Baginda secara rasminya membuat kesimpulan bahawa Anwar berkemungkinan mendapat kepercayaan majoriti daripada ahli-ahli Parlimen.

Anwar, 75, mengingatkan Awang berhubung kuasa-kuasa Agong di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan sedangkan ungkapan pemimpin pembangkang itu adalah rakus, bersifat inflamasi, tidak bertanggungjawab, keji dan menghasut.

Dokumen setebal lapan muka surat itu juga menyatakan bahawa Awang sengaja mencemarkan nama baik, reputasi dan perwatakan Anwar.

"Justeru itu, Awang perlu menarik balik kenyataan fitnah, video Tiktok yang memfitnah atau artikel memfitnah tersebut serta-merta.

"Beliau juga perlu membuat permohonan maaf tanpa syarat dalam cara dan bentuk yang akan dipersetujui oleh peguam saya, untuk disiarkan dalam akhbar serta media pilihan saya.

"Satu aku janji bertulis oleh Awang supaya tidak mengulanginya juga perlu dibuat," katanya.

Anwar juga telah mengarahkan peguamnya untuk menuntut ganti rugi substantif daripada Awang atas kecederaan teruk terhadap reputasinya.

Jika pihaknya tidak menerima maklum balas yang memuaskan dalam tempoh tiga hari daripada tarikh penerimaan notis itu, arahan yang diterima oleh peguam adalah untuk memulakan tindakan perundangan terhadap Awang.

Dua hari lalu, Sinar Harian melaporkan, Anwar mengemukakan LOD pertama kepada Awang, berhubung kenyataan yang menuduhnya, berdendam lebih teruk daripada Dr Mahathir Mohamad dan mengamalkan pendakwaan berpilih.

Dakwaan Awang itu berkait dua pertuduhan menerima rasuah RM6.9 juta dihadapi bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, di Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa.