Siti Bainun nafi gaul cili beri makan pada Bella

Siti Bainun - Foto Bernama
Siti Bainun - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali pada Jumaat menafikan di Mahkamah Sesyen di sini bahawa dia menggaul cili untuk diberi makan kepada seorang remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella.

Siti Bainun, 31, berkata, dakwaan saksi pendakwaan kelapan (SP8), Suhana Zam yang melihat kejadian tersebut adalah tidak benar kerana rakan baiknya itu tidak pernah mengambil peduli mengenai keadaan anak-anak jagaannya.

Tertuduh berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad pada perbicaraan bela diri wanita itu, yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun terbabit.

Nor Azizah: Saya katakan Suhana nampak kamu gaul cili dalam pinggan dan bagi Bella makan.

Siti Bainun: Tidak setuju.

Siti Bainun berkata, walaupun Suhana kerap datang ke kondominiumnya di Wangsa Maju di sini, namun rakannya itu tidak menyukai kanak-kanak.

Nor Azizah: Tadi kamu kata, Suhana ini kawan baik kamu. Kamu bantu Suhana dan Suhana bantu kamu, jadi apa keperluan Suhana untuk mereka-reka cerita mengenai kamu jika kejadian ini tidak berlaku? Dia kawan baik kamu ni, bukan orang luar.

Siti Bainun:Saya tidak tahu.

Suhana dalam keterangannya sebelum ini memberitahu mahkamah, beliau nampak Siti Bainun memegang dagu Bella dan memaksa remaja itu makan nasi goreng dicampur cili yang banyak semasa beliau (Suhana) berada di kondominium Siti Bainun pada Mei 2021.

Siti Bainun tidak bersetuju bahawa Suhana tidak mereka-reka cerita dan tidak terpengaruh dengan cerita daripada saksi pendakwaan pertama, Zurianty Sudin atau media sosial.

Nor Azizah: Saya katakan cerita Suhana ini adalah cerita yang benar berlaku dan beliau tiada agenda lain dan Siti Bainun berkata tidak setuju.

Dalam prosiding itu, Nor Azizah turut membangkitkan persoalan mengenai kewujudan seorang individu bernama 'Farah' selepas tidak dapat mengesan individu tersebut dalam mana-mana gambar yang diserahkan sebagai bahan bukti.

Siti Bainun dalam keterangannya berkata, Farah adalah individu yang selalu membantunya untuk menjaga anak-anaknya ketika dia tiada di rumah kerana rakannya itu tinggal berdekatan dengan rumah tertuduh.

Nor Azizah: Siapa ‘Farah’?

Siti Bainun: Farah, kawan saya. Dia selalu selalu jaga anak-anak saya dan tidur di rumah saya, jika perlu.

Bagaimanapun, tertuduh tidak bersetuju dengan Nor Azizah bahawa individu bernama 'Farah' tidak pernah disebut oleh saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood dan Suhana ketika mereka memberi keterangan di mahkamah serta tidak bersetuju dengan pendakwaan 'Farah' tidak wujud.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 jika sabit kesalahan itu ia membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung 27 Februari ini. - Bernama