Hussein mulakan tugas sebagai Ketua Polis Selangor

Acryl Sani (tengah) menyaksikan serah terima tugas antara Sasikala Devi dan Hussein dalam majlis di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cheras, di sini pada Jumaat.
Acryl Sani (tengah) menyaksikan serah terima tugas antara Sasikala Devi dan Hussein dalam majlis di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cheras, di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Hussein Omar Khan memulakan tugas sebagai Ketua Polis Selangor menggantikan Datuk S.Sasikala Devi yang sebelum ini merupakan pemangku Ketua Polis Selangor berkuatkuasa pada Jumaat menerusi majlis serah terima tugas di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cheras, di sini.

Majlis serah terima tugas itu disaksikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Hussein sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi, Bukit Aman dilantik sebagai Ketua Polis Selangor menerusi kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin pada 9 Februari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Hussein merupakan individu yang berpengalaman dan berkebolehan.

Menurut beliau, kepercayaan diletakkan sepenuhnya terhadap beliau dalam memimpin Polis Selangor.

"Pengalaman luas Datuk Hussein Omar selama 27 tahun dalam siasatan jenayah dan pernah berkhidmat di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sekali gus diyakini dapat mentadbir IPK Selangor dengan cemerlang," katanya.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi dilantik sebagai pemangku Ketua Polis Selangor selepas Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed bersara wajib 2 Januari lalu.

Arjunaidi telah berkhidmat selama 35 tahun dalam PDRM dan pernah bertugas di tujuh kontinjen polis iaitu Kedah, Perlis, Kelantan, Kuala Lumpur, Perak, Bukit Aman dan Selangor.

Sementara itu, majlis serah terima tugas yang berlangsung turut menyaksikan serah terima tugas antara Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Selangor antara Datuk S.Sasikala Devi dengan Datin Liliyana Haryanti Mohd Harunizam.