Selepas setahun, konflik Rusia-Ukraine terus meruncing

Dunia turut terkena tempias dan terjejas teruk sejak Rusia melancarkan ‘operasi ketenteraan khas’ ke atas Ukraine. Foto hiasan
Dunia turut terkena tempias dan terjejas teruk sejak Rusia melancarkan ‘operasi ketenteraan khas’ ke atas Ukraine. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Konflik antara Rusia-Ukraine kini memasuki tahun pertama pada Jumaat tanpa sebarang petunjuk ia akan berakhir dalam masa terdekat, dengan pemain utama di kancah percaturan politik terus mempamerkan kehebatan masing-masing, menghantar lebih ramai tentera dan senjata canggih ke medan perang.

Dunia turut terkena tempias dan terjejas teruk sejak Rusia melancarkan ‘operasi ketenteraan khas’ ke atas Ukraine pada 24 Februari.

Aturan ekonomi dan geopolitik global secara asasnya telah berubah akibat gangguan terhadap rantaian bekalan termasuk makanan dan bijirin serta krisis tenaga di Eropah selepas Rusia memotong bekalan gas sebagai tindak balas terhadap sekatan ekonomi yang dikenakan Barat ke atas Moscow.

Konflik dua negara itu turut mencetuskan satu lagi krisis kemanusiaan, dengan data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan lebih lapan juta orang telah melarikan diri dari Ukraine setakat ini, manakala kira-kira 5.9 juta rakyatnya menjadi pelarian dalam negara sendiri dan lebih 17.6 juta lagi memerlukan bantuan kemanusiaan.

Pengasas dan Pengarah Urusan Pusat Pengurusan Krisis, Nordin Abdullah berkata, berdasarkan penelitian terkini, krisis terbabit akan mengambil masa "beberapa tahun” untuk berakhir.

Beliau menjelaskan bahawa perang yang berlaku kini adalah kemuncak konflik yang berakar umbi di Crimea sejak hampir sedekad lalu.

"Perang ini akan berlarutan sehingga objektif ketenteraan dan politik satu pihak tercapai dan pihak lawan tidak dapat meneruskannya. Jika imperatif strategik kekal sama dan melihat kepada konflik bersenjata pada tahun-tahun sebelumnya, pertempuran dijangka berlarutan untuk beberapa tahun.

"Kebimbangan saya ialah kita tidak memahami semua objektif setiap pemain dalam percaturan ini. Ia adalah perang pelumpuhan dan kedua-dua pihak mempunyai akses kepada kekuatan tentera dan aset ketenteraan, punya keazaman untuk berjuang dan pada masa ini belum ada motivasi untuk berkompromi,” katanya kepada Bernama.

Peningkatan konflik baru-baru ini dari segi jumlah dan kecanggihan aset ketenteraan hanya menunjukkan bahawa trend ini akan berterusan apabila kepentingan bagi setiap pihak terus meningkat.

"Semua yang kita lihat di medan perang melibatkan rantaian bekalan global. Perang media telah terpampang di setiap stesen televisyen, portal berita dan platform media sosial.

"Malah manipulasi algoritma turut menjadi persaingan. Penggunaan serangan siber ke atas sasaran secara langsung dan rantaian bekalan yang berkaitan oleh banyak akaun, tidak dapat ditandingi dalam sejarah.

"Penggunaan setiap alat dalam kit perang kognitif, apatah lagi dengan mengaplikasikan pelbagai taktik ‘zon kelabu’, menjadikan perang ini sebagai penanda aras baharu dalam perang saraf moden," katanya.

Menurut laporan terkini, Amerika Syarikat adalah penyumbang bantuan ketenteraan terbesar kepada Ukraine, dengan jumlah sumbangan sejak permulaan perang kini mencecah AS$29.8 bilion.

United Kingdom pula penyumbang kedua terbesar dengan sumbangan berjumlah £2.3 bilion (AS$2.8 bilion), manakala Kesatuan Eropah (EU) memberikan bantuan berjumlah €3.6 bilion (AS$3.8 bilion).

Berucap di parlimen Rusia yang juga dikenali sebagai Perhimpunan Persekutuan pada Selasa, Presiden Vladimir Putin berkata bahawa semakin banyak senjata jarak jauh yang dibekalkan Barat kepada Ukraine, semakin sukar Rusia mengalihkan ancaman itu dari sempadannya.

Mengulas lanjut, Nordin menyatakan bahawa pada peringkat ini, rundingan damai hanya boleh dilakukan selepas kedua-dua pihak mencapai objektif ketenteraan masing-masing.

"Rundingan damai yang bermakna tidak mudah dicapai tanpa gencatan senjata yang mampan. Kita tidak boleh melupakan sisi kemanusiaan dalam konflik ini, rakyat di kedua-dua belah pihak sedang ketakutan, mengalami kecederaan sehingga menjadi cacat dan ada yang dibunuh, (dan) keluarga hilang insan tersayang.

"Kita, serta sebagai bahagian lain di dunia mesti membantu melalui apa sahaja cara yang mungkin untuk menamatkan konflik ini dan membina keamanan yang mampan," katanya.

Sementara itu, penasihat utama di Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia, Dr Oh Ei Sun berkata, sudah terdapat petanda kesediaan pihak-pihak terlibat untuk menamatkan konflik.

"Tetapi akhirnya, ia bergantung sama ada pemimpin yang terlibat mempunyai kemahuan politik untuk menamatkan perang lebih awal," tambah felow kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura itu.

Oh berpendapat bahawa kesukaran Rusia untuk mengalahkan Ukraine adalah berikutan sokongan Barat, yang mengimbau kembali sejarah sekitar 1980-an ketika Afghanistan yang diduduki Soviet ditentang golongan Mujahidin, yang akhirnya membawa kepada pengunduran tentera Soviet.

"Rusia kini pada dasarnya terlibat dalam perang proksi dengan Barat," katanya.

Dialog untuk perdamaian terhenti tanpa tempoh masa yang jelas, ekoran keengganan Rusia dan Ukraine kembali ke meja rundingan buat masa ini selain menuding jari antara satu sama lain bahawa sebelah pihak menetapkan prasyarat bagi rundingan.

Pada Januari, Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov berkata pada masa ini tiada prospek untuk rundingan damai dengan Ukraine, manakala pihak Ukraine dilaporkan menutup pintu untuk sebarang pertemuan sehingga ia menguasai semula beberapa wilayahnya.

Menurut laporan antarabangsa, dianggarkan kira-kira 200,000 tentera Rusia terjejas manakala di pihak Ukraine sekitar satu juta terbunuh atau cedera dengan 30,000 kematian membabitkan orang awam sejak perang meletus.- Bernama