Jemaah umrah terkandas di Jakarta selamat berlepas ke Tanah Suci

Sinar Harian melaporkan seramai 62 jemaah umrah dari Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta, berikutan ditahan pihak berkuasa Indonesia susulan tiada tiket balik dari Jeddah, Arab Saudi.
Sinar Harian melaporkan seramai 62 jemaah umrah dari Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta, berikutan ditahan pihak berkuasa Indonesia susulan tiada tiket balik dari Jeddah, Arab Saudi.
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak pengurusan EMRAZ Travel & Tours memaklumkan bahawa kesemua jemaah umrah yang mengalami kelewatan penerbangan akibat masalah teknikal di Jakarta, Indonesia telah selamat berlepas ke Tanah Suci menggunakan penerbangan Saudi Airlines pada pagi Jumaat.

Menurut kenyataan dari agensi pelancongan itu, kesemua jemaah telah berlepas secara tiga peringkat sejak awal pagi tadi.

Penerbangan kumpulan pertama akan tiba di Jeddah, Arab Saudi pada jam 11.28 pagi mengikut waktu negara berkenaan dan bersamaan jam 4.28 petang waktu Malaysia.

"Isu kelewatan timbul akibat masalah teknikal melibatkan tiket penerbangan yang menyebabkan jemaah umrah tersebut tidak dibenarkan untuk mendaftar masuk ke penerbangan dari Jakarta ke Jeddah.

"Tindakan pantas pihak pengurusan syarikat telah berjaya menyelesaikan isu berkenaan dan jemaah yang terkesan telah dibawa ke hotel penginapan sementara menunggu jadual penerbangan mereka yang berikutnya.

"Situasi ini boleh berlaku sewaktu transit terutama melibatkan musim yang padat seperti cuti sekolah dan pihak syarikat sentiasa memastikan kebajikan jemaah sentiasa dijaga," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan seramai 62 jemaah umrah dari Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta, berikutan ditahan pihak berkuasa Indonesia susulan tiada tiket balik dari Jeddah, Arab Saudi.

Jemaah yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 2 petang tadi (Khamis) dijadualkan untuk transit di Jakarta sebelum berlepas ke Jeddah pada jam 7 petang tadi.

Kumpulan jemaah itu dilaporkan akan menunaikan ibadah umrah bermula Khamis hingga 7 Mac depan.

Dalam pada itu, difahamkan kumpulan jemaah terakhir berlepas dari Jakarta ke Jeddah pada pukul 11.45 pagi Jumaat iaitu bersamaan waktu Malaysia.

Menurut kenyataan itu lagu, pihak EMRAZ akan terus memastikan semua pelanggan agensi pelancongan berkenaan diberikan perkhidmatan terbaik.

Untuk maklumat lanjut dan sebarang persoalan, sila email ke marcomm@emraztravel.com atau hubungi Pengurus Komunikasi Pemasaran, Ashalia Yusof di talian 017-6399836.