PBSM bantu mangsa gempa bumi Turkiye, Syria

Sumbangan kewangan wakil KPJ Healthcare Berhad diserahkan kepada Pengerusi PBSM Kebangsaan, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz (tiga dari kanan).
Sumbangan kewangan wakil KPJ Healthcare Berhad diserahkan kepada Pengerusi PBSM Kebangsaan, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz (tiga dari kanan).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sumbangan kewangan serta peralatan dan bantuan kemanusiaan secara berterusan akan dapat meringankan beban rakyat di Turkiye dan Syria yang terkesan akibat gempa bumi.

Sehubungan itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) telah menggerakkan dua anggotanya ke dua negara itu sebagai sebahagian daripada pasukan penilaian pantas dalam misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke kawasan terjejas dan sekitarnya.

Setiausaha Agung PBSM, Hakim Hamzah berkata, penempatan pasukan penilaian pantas tersebut bertujuan untuk memenuhi keperluan tempat perlindungan kecemasan, barangan sara hidup dan sokongan kesihatan.

Usaha itu katanya, mendapat kerjasama Kementerian Hal Ehwal Luar Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan dan rakan kongsi PBSM seperti Bulan Sabit Merah Turk Kisilay Turki (TRC) dan Bulan Sabit Merah Arab Syria (SARC).

Menurutnya, berdasarkan laporan penilaian awal, TRC memerlukan bantuan dalam bentuk pembiayaan untuk operasi lapangan yang memberi tumpuan kepada tempat perlindungan kecemasan, peralatan kesihatan mudah alih dan stok makanan.

"Ini termasuk bantuan aset kenderaan untuk pengangkutan dan bantuan penghantaran, PBSM akan terus bekerjasama dengan TRC dan SARC untuk menyokong operasi bantuan kemanusiaan dan tindak balas kepada komuniti yang terjejas di Turkiye dan Syria," katanya.

Para penyumbang bergambar bersama Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz (enam dari kanan).
Para penyumbang bergambar bersama Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz (enam dari kanan).

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis penyerahan sumbangan kepada bantuan 'rayuan' PBSM untuk mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria di Ibu Pejabat PBSM di ibu negara pada Khamis.

Antara syarikat korporat yang hadir ialah Ariani Textiles & Manufacturing Sdn Bhd, KPJ Healthcare Berhad, PrimaValet, Duopharma Biotech Berhad, Blackmores (Malaysia) Sdn Bhd dan Pertubuhan Akhlak Maitreya Malaysia.

Sumbangan kewangan berjumlah kira-kira RM100,000 diserahkan wakil syarikat berkenaan kepada Pengerusi PBSM Kebangsaan, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Sementara itu, Tunku Puteri Intan Safinaz merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong 'rayuan' PBSM untuk mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria dalam usaha pemulihan di dua negara terjejas itu.

"PBSM juga akan menghantar lebih banyak pakej sokongan sebagai tindak balas terhadap peningkatan keperluan kemanusiaan di kedua-dua negara dan menggalakkan agar lebih ramai untuk menyertai usaha ke arah bantuan kemanusiaan itu," katanya.

Sumbangan kewangan syarikat korporat terbabit diserahkan kepada Pengerusi PBSM Kebangsaan, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz (tiga dari kanan).
Sumbangan kewangan syarikat korporat terbabit diserahkan kepada Pengerusi PBSM Kebangsaan, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz (tiga dari kanan).

Terdahulu, PBSM telah menghantar lebih lima tan barangan bantuan seperti makanan dan bantuan asas barangan seperti khemah, selimut haba, beg tidur termasuk ubat melalui misi khas Tentera Udara Diraja Malaysia dari Kuala Lumpur.

Sehingga Rabu jumlah pengumpulan dana bantuan 'rayuan' PBSM untuk mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria berjumlah RM159,553.67.

Ini tidak termasuk dengan bantuan diterima pada Khamis berjumlah kira-kira RM100,000.