Piala Sumbangsih 2023: JDT sedia berdepan TFC

Ricchetti (dua kiri) bersama, pengendali TFC,Tomislav Steinbruckne pada sidang akhbar berkenaan.
Ricchetti (dua kiri) bersama, pengendali TFC,Tomislav Steinbruckne pada sidang akhbar berkenaan.
A
A
A

KAMI sudah bersedia. 100 peratus bersedia,” Itu reaksi ringkas penolong ketua jurulatih skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Pablo Ricchetti menjelang aksi Sumbangsih 2023 berdepan Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat.

Menurut Ricchetti, keyakinan itu disuarakannya berdasarkan kepada persiapan skuad Harimau Selatan itu setakat ini, terutamanya setelah mempamerkan prestasi memberangsangkan pada aksi pra-musim di Dubai baru-baru ini.

Justeru katanya, prestasi berkenaan diharap dapat diteruskan sekali gus mempertahankan trofi Sultan Haji Ahmad Shah yang dimenangi musim lalu.

“Kami baharu sahaja selesai mengharungi aksi pra-musim di Dubai dan esok (Jumaat), kami akan beraksi dalam perlawanan Sumbangsih pula yang juga merupakan perlawanan sulung bagi musim 2023 ini.

“Sudah semestinya kami mahu memastikan perlawanan sulung ini berakhir dengan kemenangan dan seterusnya membuatkan pasukan ini (JDT), terus memenangi lebih banyak piala selepas ini,” katanya pada Khamis.

Mengulas mengenai kemungkinan kesebelasan yang bakal diturunkan esok, Ricchetti berkata, perkara berkenaan hanya dapat ditentukan pada hari perlawanan.

Bagaimanapun katanya, setakat ini, kesemua pemain dilaporkan cergas dan bersedia untuk beraksi.

“Kita hanya boleh tentukan pemain yang bakal beraksi esok (Jumaat) dan setakat ini semua pemain bersedia...kecuali Natxo (Insa),” ujarnya.

Sementara itu, Ricchetti berkata, pihaknya tidak dapat menjawab persoalan berhubung kedatangan penyerang antarabangsa Colombia, Radamel Falcao ke skuad Harimau Selatan itu.

“Saya tidak ada apa yang boleh diperkatakan mengenai perkara ini...untuk sebarang info lanjut, lebih baik dapatkan daripada pihak atasan,” katanya.