Liga-M: Tak semua pasukan ambil 9 import

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) melihat petanda baik pasukan Liga Super dalam berbelanja mendapatkan pemain untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, tidak semua pasukan yang mengambil khidmat sembilan import seperti yang dibenarkan oleh pengelola liga tersebut.

"Tidak semua pasukan melengkapkan lima import tahun lalu dan juga tidak bermakna kita bagi 32 pendaftaran pemain, pasukan kena daftar 32 pemain itu.

"Tahun ini, dengan adanya kelonggaran untuk (membawa masuk) sembilan pemain (import), tidak semua pasukan melengkapkannya. Saya rasa ia satu indikasi baik.

"Pasukan telah menunjukkan bajet dan operasi yang baik untuk memastikan keperluan pemain import mengikut keperluan pasukan," katanya kepada pemberita di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada Rabu.

Terdahulu, MFL membenarkan semua pasukan mendaftarkan sehingga sembilan pemain import bagi menghadapi format baharu Liga Super musim ini.

Namun, setiap pasukan hanya boleh mendaftarkan enam import dalam satu-satu perlawanan dan lima pemain dibenarkan berada di dalam padang, manakala seorang lagi akan berperanan sebagai pemain gantian.

Dalam perkembangan lain, Stuart turut memaklumkan tiada pasukan yang telah melengkapkan pendaftaran pemain menjelang tarikh akhir pada Khamis.

"Semua pasukan belum lengkap lagi disebabkan kebiasaan hari terakhir mereka akan lengkapkan semua dokumen. Buat masa ini, saya tidak lihat ada isu berbangkit.

"Selain itu, ada satu atau dua pasukan yang belum terima sijil perpindahan antarabangsa (ITC) pemain import. Tetapi, saya rasa tidak ada masalah besar," ujarnya.