RM1.467 bilion bagi projek pembetungan seluruh negara

Nik Nazmi ketika melawat fasiliti sukan yang akan dibuka kepada penduduk sekitar Kajang pada majlis perasmian Loji Rawatan Kumbahan Berpusat Langat dan Taman Eko Langat pada Rabu. - Foto Bernama
Nik Nazmi ketika melawat fasiliti sukan yang akan dibuka kepada penduduk sekitar Kajang pada majlis perasmian Loji Rawatan Kumbahan Berpusat Langat dan Taman Eko Langat pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KAJANG - Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) memperuntukkan RM1.467 bilion di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bagi melaksanakan projek pembetungan yang berkesan di seluruh negara.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, projek ini bagi memastikan sasaran Transformasi Sektor Air 2024 untuk menjadikan sektor air sebagai sasaran keselamatan air kepada setiap rakyat tercapai.

"Ini agar rakyat mempunyai akses kepada bekalan air dan sistem sanitasi yang mampu milik, dipercayai, mencukupi, bersih dan berkualiti dicapai,” katanya dalam ucapan perasmian Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Berpusat Langat dan Taman Eko Langat pada Rabu.

Beliau berkata, projek ini sejajar dengan Teras Strategik Utama Malaysia Madani iaitu menjamin kesejahteraan insan selain selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Nombor 6 yang meningkatkan akses kepada bekalan air bersih dan sanitasi.

Sementara itu, beliau berkata, Projek LRK Berpusat Langat dan Taman Eko Langat merupakan projek di bawah RMK-10 yang berjumlah RM1.595 bilion.

"Loji ini merangkumi kawasan tadahan seluas 77.6 kilometer persegi termasuk Batu 11 Cheras, Cheras Jaya, Desa Baiduri, Kajang 1 dan 3 dengan kapasiti loji rawatan kumbahan sebanyak 920,000 Penduduk Setara,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, LRK ini berkonsep "return to community” dengan menyediakan kemudahan riadah dan rekreasi yang dikenali sebagai Taman Eko Langat kepada penduduk di kawasan yang dijangka buka kepada orang awam pada Jun ini.

Sementara itu, berhubung isu kenaikan tarif secara senyap bagi perkhidmatan pembetungan bersambung dan mengosongkan tangki septik untuk kategori domestik yang di tular pada sosial media, Nik Nazmi berkata, pihak Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) telah memaklumkan tentang kenaikan itu pada tahun lepas.

"Ia sudah dimaklumkan dan IWK juga dalam proses transformasi kerana IWK menghadapi sedikit kekangan kewangan tetapi sekarang dalam proses menjadi baik dan bayaran bil itu masih di bawah kos operasi,” katanya ketika sidang akhbar.

Sebelum ini, NRECC memaklumkan persetujuan pelarasan tarif itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 April 2022 Pelarasan tarif ini melibatkan peningkatan antara RM5 hingga RM8 sebulan bagi perkhidmatan mengosongkan untuk premis yang memiliki tangki septik berkuat kuasa 1 Okt 2022 manakala perkhidmatan bersambung pula meningkat sebanyak RM2 sebulan berkuat kuasa 1 Januari lepas. - Bernama