Penjaja Rohingya letak barang jualan di tempat parkir

Serbuan dijalankan oleh anggota Jabatan Penguatkuasaan DBKL dengan kerjasama MPS.
Serbuan dijalankan oleh anggota Jabatan Penguatkuasaan DBKL dengan kerjasama MPS.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan lapan sitaan barang jualan dan pindah barangan perniagaan warga asing berniaga secara haram di sekitar Jalan Besar dan Jalan Selayang Baru di Pasar Harian Selayang di sini.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, serbuan berkenaan dijalankan oleh anggota Jabatan Penguatkuasaan DBKL dengan kerjasama Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Menurut DBKL, selain tidak memiliki kebenaran untuk menjalankan perniagaan, penjaja warga asing itu turut meletakkan barangan perniagaan mereka di atas jalan dan tempat parkir kenderaan.

"Sejumlah lapan aktiviti perniagaan etnik Rohingya warga Myanmar yang memegang Kad Pelarian United Nations High Commissioner for Refugees (UNCHR) diambil tindakan sita dan pindah barangan perniagaan.

"Selain dari tidak memiliki kebenaran untuk menjalankan perniagaan, penjaja warga asing ini turut meletakkan barangan perniagaan mereka di atas jalan," kata DBKL dalam kenyataan itu di laman Facebooknya pada Selasa.

Menurut kenyataan, tindakan penguatkuasaan DBKL itu diambil menerusi Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 dan Seksyen 46(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

DBKL berkata, kerjasama dan tindakan bersepadu membabitkan pegawai dan anggota penguat kuasa dari MPS termasuk dengan kerjasama semua agensi lain akan dilaksanakan secara berkala dalam masa terdekat.

"Ia bagi memastikan aktiviti perniagaan warga asing dapat dibanteras," katanya.