[VIDEO] KPM jamin kecenderungan politik guru tidak pengaruhi pelajar

Gambar hiasan. Gambar kecil: Lim Hui Ying
Gambar hiasan. Gambar kecil: Lim Hui Ying
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan jaminan bahawa guru sekolah menengah yang akan mengajar topik berkaitan pilihan raya tidak akan membiarkan kecenderungan politik peribadi mereka mempengaruhi pelajar.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, guru di Malaysia telah dididik dengan integriti dan bersikap objektif yang tidak mungkin mempengaruhi murid daripada segi fahaman politik.

Menurutnya, topik berkenaan akan diletakkan di bawah mata pelajaran Sejarah dan Sivik untuk pelajar sekolah menengah serta melalui aktiviti kokurikulum.

“Daripada aspek guru mungkin akan mempengaruhi, (saya yakin) memang tidak. Kami ada keyakinan pada guru. Mereka telah dididik dengan integriti dan bersikap objektif yang tidak mungkin mempengaruhi murid.

“KPM telah menyediakan bahan sokongan dalam bentuk powerpoint untuk membantu guru mengajar topik pilihan raya dengan sebaiknya.

“Selain itu, kita ada video DidikTV, yang akan menyiarkan topik berkenaan,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) yang bertanyakan langkah untuk memastikan pengajaran topik pilihan raya tidak menjadi medan bagi guru mempengaruhi minda pelajar dengan sentimen tertentu.

Tambah Hui Ying, kandungan yang berkaitan pilihan raya dimasukkan sebagai usaha membentuk karakter murid menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan cinta akan negara, bermula daripada sekolah rendah, murid diajar mengenai Perlembagaan Persekutuan dan tanggungjawab rakyat kepada negara.

Ia termasuklah latar belakang pengetahuan asas sejarah negara melalui tema ‘Sejarah Awal Negara, Kedaulatan Negara dan Kemakmuran Negara Kita’.

“Selaras dengan kematangan usia dan tahap pengetahuan, murid sekolah menengah didedahkan dengan lebih mendalam tentang politik melalui tema ‘Sejarah Kita dan Dunia, Warisan Bangsa, Kedatangan Kuasa Asing, Pembinaan Negara serta Malaysia dan Masa Hadapan’.

“Ini bertujuan supaya murid memahami kepentingan peranan mereka sebagai warganegara yang bertanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian dan kestabilan negara,” ujar beliau.