Tiga remaja didakwa rogol kanak-kanak 12 tahun

Tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Bahau pada Rabu.
Tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Bahau pada Rabu.
A
A
A

JEMPOL - [DIKEMASKINI] Tiga remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bahau di sini pada Rabu atas pertuduhan merogol kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, bulan lalu.

Ketiga-tiga tertuduh masing-masing berusia 14, 16 dan 17 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Norshazwani Ishak.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh iaitu remaja berusia 16 tahun didakwa merogol kanak-kanak itu antara jam 3 pagi hingga 1 petang pada 29 Januari lalu.

Manakala dua remaja berusia 14 dan 17 dituduh secara berkumpulan merogol kanak-kanak sama pada jam 11.30 malam 28 Januari lalu.

Kesemua tertuduh melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di Bahau.

Tertuduh berusia 16 tahun dituduh mengikut Seksyen 376 (2)(d) Kanun Keseksaan ( Akta 574) manakala dua remaja yang melakukan perbuatan itu secara bersama dituduh mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Baharudin Bah Bam manakala dua tertuduh diwakili peguam masing-masing Datuk Abu Bakar Isa Ramat dan Datuk P. M Nagarajan manakala seorang lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 bagi setiap tertuduh dan kes disebut semula pada 22 Mac ini.