Menang PRU14 bukan kayu pengukur kekal bertanding

Koi Voon
Koi Voon
A
A
A

SEREMBAN - DAP Negeri Sembilan tidak sepatutnya menjadikan kejayaan mempertahankan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai kayu pengukur untuk kekal bertanding di situ.

Pengerusi MCA Negeri Sembilan, Siow Koi Voon berkata, prinsip itu tidak sesuai digunakan dan bercanggah dengan semangat Kerajaan Perpaduan.

"Perlu diingatkan, sokongan pengundi kepada parti bukan bersifat kekal abadi, ia boleh berubah-ubah ditambah pula hari ini BN sudah mewujudkan persefahaman dengan PH.

"Jadi saya rasa, siapa menang kerusi itu dia yang punya tak sepatutnya dijadikan prinsip pembahagian kerusi dalam kalangan PH dan BN untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ini kerana kita sekarang dalam konteks Kerajaan Perpaduan" katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook bahawa arti itu mahu mempertahankan 11 kerusi yang dimenangi pada PRU14 pada PRN yang akan datang.

Menurut Anthony, adalah wajar untuk parti itu terus diberi peluang mempertahankan kerusi terbabit yang dimenangi sejak PRU13.

Mengulas lanjut, Koi Voon berkata, pihaknya bertegas mahu MCA diberi kerusi untuk bertanding pada PRN dan ia merupakan prinsip yang tidak boleh dikompromi.

Tambahnya, DAP perlu menerima hakikat landskap politik PH dan BN telah berubah dengan termeterainya persefahaman membentuk Kerajaan Perpaduan.

"Saya sudah maklumkan pada Presiden MCA berhubung hasrat kami dan beliau memaklumkan soal pembahagian kerusi masih dalam rundingan.

"Kami berpegang dengan prinsip setiap parti komponen yg sertai Kerajaan Perpaduan perlu diberi kerusi untuk bertanding," katanya.