Real aibkan Liverpool di Anfield

Vinicius meraikan jaringannya ketika menentang Liverpool dalam perlawanan pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara pada Rabu. - Foto EPA
Vinicius meraikan jaringannya ketika menentang Liverpool dalam perlawanan pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara pada Rabu. - Foto EPA
A
A
A

VINICIUS Junior dan Karim Benzema menjaringkan dua gol ketika Real Madrid menghasilkan satu lagi kebangkitan menakjubkan daripada ketinggalan 2-0 untuk membelasah Liverpool 5-2 dalam perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara di Anfield pada Rabu.

Darwin Nunez dan Mohamed Salah memberikan Liverpool permulaan yang sempurna dalam perlawanan yang disifatkan sebagai ulangan final Liga Juara-Juara musim lalu.

Tetapi, Vinicius menjaringkan dua gol untuk menyamakan kedudukan pada separuh masa pertama, sebelum Eder Militao dan dua gol dari Benzema memastikan kemenangan besar Los Blancos.

"Kami banyak menderita dalam permainan ini dan anda tidak boleh memulakan perlawanan seperti itu. Tetapi mujurlah pasukan ini mempunyai pemain yang tenang.

"Barisan penyerang kami hari ini sangat cekap. Setiap kali kami mematahkan asakan Liverpool, kami mampu mencipta peluang," kata pengendali Real, Carlo Ancelotti.

Dalam pada itu, Ancelotti juga memberikan pujian kepada Vinicus yang menjadi antara tonggak penting dalam perlawanan tersebut.

"Vinicius adalah pemain paling berbahaya dalam bola sepak dunia hari ini.

"Tiada pemain dengan aksi konsisten seperti yang ditunjukkannya. Dia tidak akan berhenti dan saya harap dia boleh teruskan seperti ini," katanya.