Jangan nyalakan api perkauman dalam sukan

Laporan Sinar Harian mengenai permohonan maaf oleh Guang Yik dan Hanis Nadiah yang digantung daripada beraksi pada Sukan SEA Kemboja 2023.
Laporan Sinar Harian mengenai permohonan maaf oleh Guang Yik dan Hanis Nadiah yang digantung daripada beraksi pada Sukan SEA Kemboja 2023.
A
A
A

AWAL bulan ini, kita dikejutkan dengan berita pemain hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn digantung daripada beraksi pada Sukan SEA Kemboja 2023 pada Mei depan gara-gara komen yang dikeluarkannya di media sosial berbaur perkauman.

Hukuman yang dikenakan ke atas Hanis Nadiah itu mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat sukan tempatan.

Ada yang berpendapat, hukuman tersebut agak berat memandangkan Hanis Nadiah sudah memohon maaf atas kekhilafannya itu.

Ada juga pihak yang bersetuju dengan hukuman penggantungan itu sebagai satu pengajaran kepada barisan atlet negara yang lain agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan di laman media sosial.

Belum reda isu Hanis Nadiah, dunia sukan Malaysia semakin hangat apabila timbul pula satu lagi kenyataan rasis.

Kali ini daripada bekas pemain pelapis percubaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Bong Guang Yik.

Sama seperti Hanis Nadiah, Guang Yik yang dilaporkan menjadi jurulatih badminton di China, telah meminta maaf susulan kenyataannya berbaur perkauman menerusi video yang dimuat naik di akaun media sosialnya.

Namun, timbul pula isu lain apabila ada pihak yang cuba membandingkan dua situasi itu sehingga tercetusnya satu lagi 'api perkauman' atas sebab Hanis Nadiah dihukum, manakala Guang Yik tidak dikenakan sebarang hukuman.

Jika diperhalusi betul-betul dua kes berkenaan, Hanis Nadiah dihukum memandangkan dia masih bergelar pemain negara, sementara Guang Yik pula tidak lagi berada di Malaysia atau bernaung di bawah BAM.

Bagaimanapun, BAM tidak berdiam diri atas kontroversi yang berlaku apabila mengambil tindakan proaktif dengan meminta Persatuan Badminton China (CBA) mengambil tindakan ke atas Guang Yik.

Apa yang berlaku ke atas Hanis Nadiah mahupun Guang Yik, seharusnya menjadi pengajaran kepada kita semua.

Harus diingat sekarang bukan masa menuding jari menyalahkan mana-mana pihak atas apa yang berlaku sehingga menimbulkan bibit-bibit perpecahan kaum.

Sewajarnya sukan dimartabatkan oleh semua pihak bagi merapatkan hubungan sesama kaum. Apabila sukan dapat menyatukan rakyat, ia secara tidak langsung dapat menghapuskan tembok perkauman.