Lima ADUN Sabah terima surat Lembaga Disiplin UMNO

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya mengesahkan telah menerima surat daripada Lembaga Disiplin UMNO, pada Jumaat lalu.

Beliau berkata, empat lagi ADUN UMNO-BN yang sebelum ini menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah turut menerima surat yang sama.

"Saya sudah terima surat untuk tindakan tatatertib pada Jumaat ini namun majlis hari ini (keluar UMNO) telah dirancang lebih awal. Jadi saya masih akan menghadirinya pada Jumaat ini untuk menjelaskan keadaan.

"Saya tidak tahu tindakan tatatertib yang akan dikenakan, namun tindakan hari ini (keluar parti) berkaitan dengan keputusan yang kami buat semasa krisis sebelum ini. Itu alasan mengapa kami dipanggil Lembaga Disiplin," katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai tindakannya keluar daripada UMNO dan tindakan disiplin yang akan dikenakan parti kepada mereka yang terlibat.

Sebelum ini, lima ADUN UMNO-BN iaitu Jasnih, Datuk Ir Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk James Ratib (Sugut) menyatakan sokongan kepada Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.

Sokongan itu dilakukan secara terbuka dan bertentangan dengan pengumuman UMNO-BN Sabah yang menarik sokongan terhadap Hajiji.

Sementara itu, ADUN Kunak, Azlinah Ariff yang sebelum ini mengumumkan keluar daripada Parti Warisan (Warisan) memberitahu, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang tindakan daripada Warisan.

"Setakat ini belum ada (tindakan daripada peguam Warisan)," katanya ringkas kepada pemberita.

Bercakap mengenai serangan dan dakwaan bahawa beliau 'dibeli' untuk meninggalkan parti, Azlinah sekali lagi menegaskan bahawa itu perkara biasa untuk mana-mana ADUN yang mengambil tindakan sedemikian.

"Saya rasa mana-mana parti pun reaksinya sama apabila ADUN keluar. Insya-ALLAH jika ADUN tersebut menjalankan tanggungjawab sebaiknya, orang akan faham kenapa dan apa tujuan sebenar tindakan itu dilakukan. Saya fikir masa akan menentukan dan membuktikannya," katanya.

Sebelum itu, Jasnih dan Azlinah antara ADUN yang bersama dalam sidang akhbar pengumuman untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang dipimpin Hajiji.