Tubuh RCI siasat aliran keluar kewangan ke akaun rahsia

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, siasatan terperinci akan dilaksanakan terhadap semua individu yang disyaki terlibat dalam isu Kertas Pandora tanpa mengira parti politik. (Gambar kecil: Mohideen)
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, siasatan terperinci akan dilaksanakan terhadap semua individu yang disyaki terlibat dalam isu Kertas Pandora tanpa mengira parti politik. (Gambar kecil: Mohideen)
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas akaun rahsia di tempat perlindungan cukai (tax haven) yang dikendalikan oleh rakyat Malaysia, seperti didedahkan dalam Pandora Papers.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, siasatan itu juga harus merangkumi individu dan syarikat Malaysia yang dinamakan dalam Panama Papers 2015 dan Paradise Papers 2016 yang didedahkan dahulu.

Menurutnya, pada 2015, Panama Papers mendedahkan bahawa 2,300 individu dan entiti Malaysia menyembunyikan wang di tempat perlindungan cukai luar pesisir (offshore).

"Pada 2016, Paradise Papers mendedahkan cara syarikat multinasional dan individu kaya raya memindahkan wang ke dan dari 19 tempat perlindungan cukai untuk mengelak atau menghindari cukai.

"Apakah alasan mereka menyembunyikan wang tersebut dan apakah sumber kewangannya?

"Laporan dalam Papers ini mendedahkan bahawa banyak syarikat luar pesisir adalah entiti palsu yang terlibat dalam pengelakan atau penghindaran cukai, manipulasi pasaran, pengubahan wang haram, round tripping (mengambil wang yang tidak dicukai keluar dari negara melalui invois yang melambung dan kemudian membawanya kembali sebagai pelaburan), menempatkan wang hitam, rasuah dan lain-lain," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohideen mendakwa, dana haram tersebut datang daripada jenayah transnasional, rasuah dan pengelakan cukai.

Katanya, berbilion ringgit terlibat dalam kegiatan haram malah industri pelacuran, yang dikaitkan dengan pemerdagangan manusia dianggarkan bernilai AS$963.8 juta atau RM3.68 bilion.

Beliau berkata, CAP pernah menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat aliran keluar aset kewangan dari Malaysia ke akaun rahsia di tempat perlindungan cukai yang memberi kesan buruk kepada ekonomi.

"Justeru, kami sekali ini mengulangi gesaan supaya kerajaan menubuhkan RCI kerana siasatan oleh agensi tidak mencukupi untuk menangani isu ini.

"RCI mesti mengenal pasti kelemahan dalam undang-undang dan institusi kita yang membolehkan aliran keluar wang haram dan membuat cadangan bagi mengukuhkan rangka kerja institusi perundangan dalam menangani masalah itu," katanya lagi.

Mohideen berkata, CAP juga mahu siasatan turut membabitkan kerjasama negara lain dan melakukan perkongsian automatik maklumat kewangan merentas sempadan.

Katanya, penerima manfaat individu utama sesuatu syarikat, amanah dan yayasan perlu didedah kepada awam dan pelaporan demi negara untuk syarikat multinasional juga perlu dilakukan.