Jika tak layak ke Piala Dunia 2026, kita mahu semakin 'rapat'

Hamidin - Foto Bernama
Hamidin - Foto Bernama
A
A
A

MALAYSIA sedang meniti jalan untuk layak buat julung kali ke Piala Dunia dan memerlukan sokongan daripada semua pihak supaya pencapaian bersejarah itu mampu diraih, kata Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Berdasarkan pengalamannya, Hamidin berkata, sesuatu kejayaan perlu mendapat sokongan dalam segenap aspek antaranya peranan pihak kerajaan, saingan liga domestik dan penyokong.

Beliau menjadikan kejayaan Malaysia mengesahkan tempat ke Piala Asia 2023 pada Jun tahun lepas sebagai contoh sokongan daripada semua pihak supaya dapat memastikan skuad Harimau Malaya menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit sejak kali terakhir pada edisi 1980 di Kuwait.

"Kita layak ke Piala Asia 2023 sebab apa? Kerana kita main (pusingan kelayakan) secara karnival, main di laman sendiri dan ada penyokong Malaysia bagi sokongan. Kita membida (jadi tuan rumah) pun satu daripada elemen (kejayaan).

"Bahrain pun nak bida ketika itu sampaikan seminggu sebelum (kelayakan mula) mereka tawar kepada kita dan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) untuk jadi tuan rumah tapi saya kata tidak, mesti main di Malaysia. Semua itu perlu dilihat dan kejayaan ini melibatkan banyak pihak," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Hamidin yang dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) bagi penggal 2023-2027 awal bulan ini berkata, kejayaan ke Piala Asia juga dipengaruhi oleh saingan liga tempatan yang semakin baik, program pembangunan, persiapan pasukan negara dan jurulatih yang bagus.

Beliau berkata, segala daya usaha perlu terus dipertingkat bagi membolehkan Malaysia 'mencium' untuk layak ke Piala Dunia 2026 atau sekurang-kurangnya menunjukkan kemajuan dengan mara lebih jauh dalam pusingan kelayakan.

"Kalau tidak layak pun sekurang-kurangnya kita mahu semakin rapat (ke Piala Dunia), kita (pasukan negara) sekarang ranking ke-25 Asia, jadi pasukan (Asia) yang akan layak 8 + 1 (play off), jadi kita mesti berada dalam kedudukan ke-15 hingga ke-10 terbaik dan masa itu kita boleh berikan saingan.

"Kita perlu bergerak selangkah demi selangkah, tapi dengan kerjasama ataupun perancangan menerusi F:30 (Peta Hala Tuju) kita sudah ke arah tersebut dan kita perlu lahirkan lagi pemain tempatan berbakat," katanya.

Meskipun jurulatih bersilih ganti, Malaysia belum berjaya layak ke Piala Dunia dalam sejarah penganjurannya sejak 1930 apabila sering terkandas di pusingan kedua kempen kelayakan.

Sementara itu, Hamidin yang memegang jawatan Presiden FAM sejak 2018 mengharapkan peminat terus memberi pandangan membina dalam misinya mengangkat semula kegemilangan bola sepak tanah air.

Menurut beliau, peminat mempunyai hak untuk memberikan pandangan serta apa jua komen dan sebagai orang nombor satu FAM beliau sendiri meneliti apa yang disuarakan termasuk di media sosial.

Beliau berkata, ada dalam kalangan peminat mempunyai buah fikiran yang bernas dan ia akan diteliti.

"Saya berpendapat mana yang bagi pandangan faktanya salah saya ketepikan saja, tapi ada yang bagus saya arah pegawai untuk teliti kerana peminat termasuk penulis blog kita (tempatan) banyak orang muda yang pandai.

"Mereka buat perbandingan dengan liga luar negara, bagus buat perbandingan. Jadi saya kena timbang mana yang tak baik diketepikan, tapi ada yang bagus saya akan terima. Saya perlu terima (kerana) itu hakikat peminat untuk bercakap apa yang mereka mahukan," katanya - Bernama