Pas Terengganu sedia hadapi PRN

KUALA TERENGGANU – Pas sudah bersedia seratus peratus untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka diadakan dalam tempoh terdekat.
Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman berkata, semua jentera parti kini berada pada tahap terbaik dalam menggerakkan kempen PRN selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan nanti.
Menurutnya, Pas bersama Perikatan Nasional (PN) turut menyasarkan kemenangan di semua 32 kerusi DUN yang dipertandingkan di negeri itu.
“Isu-isu melibatkan Pas yang sengaja ditimbulkan sekarang tidak menjejaskan sokongan rakyat kepada parti,” katanya pada Selasa.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat berkata, perkara berkaitan agihan kerusi melibatkan parti komponen PN akan diputuskan oleh kepimpinan tertinggi parti.
Bagaimanapun jelas Ariffin, beliau yakin agihan tersebut dapat diselesaikan secara harmoni berdasarkan pengalaman dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Agihan kerusi diputuskan oleh pusat, bukan negeri,” katanya.
Dalam PRU14, Pas berjaya memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN di Terengganu manakala UMNO pula sebanyak 10 kerusi.
Selain Terengganu, terdapat lima negeri lain yang belum mengadakan PRN iaitu Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
