'Saya akan terus pikul amanah sebagai Ahli Parlimen Sembrong'

Hishammuddin Tun Hussein ketika sesi perbahasan Titah Yang Dipertuan Agong pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama
Hishammuddin Tun Hussein ketika sesi perbahasan Titah Yang Dipertuan Agong pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan beliau akan terus memikul amanah serta tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Bercakap secara terbuka ketika membahaskan Usul Titah Diraja di Dewan Rakyat Hishammuddin yang juga bekas Menteri Pertahanan berkata, keutamaannya kini adalah untuk menjaga rakyat di kawasan yang dipimpinnya.

"Saya akan terus memikul amanah serta tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Sembrong yang telah diletakkan di atas bahu saya," katanya di sini pada Isnin.

Meskipun tidak menjelaskan secara terperinci, ucapan itu dipercayai merujuk keada statusnya selepas digantung keahlian daripada UMNO selama enam tahun.

Ucapan penuh 'sayu' bekas Naib Presiden UMNO itu turut menarik perhatian ahli Parlimen blok pembangkang.

Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) bangkit mencelah dengan bertanyakan sama ada ucapannya itu mempunyai kaitan dengan kes penggantungan beliau.

"Adakah itu termasuk cerita gantung," soal Saifuddin secara berseloroh.

Sinar Harian pada Januari lalu melaporkan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dipecat daripada UMNO serta-merta.

Selain Khairy, UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain antaranya ialah Hishammuddin dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.