Gabungan e-hailing kemuka tiga resolusi

Jose (dua kiri) bersama Anthony Loke (tengah) selepas mengadakan pertemuan dengan Mesej Pengangkutan itu di Parlimen pada Isnin.
Jose (dua kiri) bersama Anthony Loke (tengah) selepas mengadakan pertemuan dengan Mesej Pengangkutan itu di Parlimen pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan disaran membuat penilaian semula terhadap Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mengurangkan beban ditanggung pemandu e-hailing.

Ketua Aktivis Gabungan e-Hailing Malaysia, Jose Rizal berkata, ia antara tiga resolusi dikemukakan Sekretariat Gabungan e-Hailing Malaysia dalam pertemuan dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di Parlimen di sini pada Isnin.

"Fokus perbincangan turut berkisar terhadap cadangan supaya Akta Pekerja Gig diadakan agar keterjaminan serta kelangsungan mereka terpelihara dengan mengekalkan elemen terpenting atau 'DNA' mereka sebagai 'hibrid'.

"Resolusi ketiga adalah cadangan agar kerajaan dapat menyediakan bantuan yang lebih berkesan dan efektif kepada industri e-hailing dalam setiap bajet tahunan," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Isnin.

Jose menambah, cadangan yang dikemukakan menerusi resolusi berkenaan disambut baik Anthony Loke malah beliau memberikan jaminan untuk memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap cadangan berkenaan.

"Menteri Pengangkutan juga menyatakan bahawa ada beberapa perkara yang akan di laksanakan dalam masa terdekat dan ini memberikan sedikit kelegaan dan keceriaan kepada komuniti pemandu e-hailing Malaysia," tambah Jose.