BinaPavo, tiga syarikat lain tingkatkan sekuriti makanan negara

Dr Leilanie (kanan) bersama Presiden BinaPavo, Dr Mohar Yusof (dua dari kanan), Monozca (kiri) dan Direktor Philanthropic Alliances Lyn Buenaventura (dua dari kiri) ketika majlis tandatangan MoU tersebut pada Isnin.
Dr Leilanie (kanan) bersama Presiden BinaPavo, Dr Mohar Yusof (dua dari kanan), Monozca (kiri) dan Direktor Philanthropic Alliances Lyn Buenaventura (dua dari kiri) ketika majlis tandatangan MoU tersebut pada Isnin.
A
A
A

SYARIKAT BinaPavo memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama tiga syarikat berprestasi tinggi bagi menjalankan pembangunan teknologi dan sekuriti makanan terhadap negara di Pusat Kajian Taman Teknologi Malaysia di sini pada Isnin.

Tiga syarikat tersebut adalah dua syarikat tempatan, Genomas Sdn Bhd dan StratNaviGO PLT serta satu dari Filipina, Monozca Family Office.

Kerjasama dengan Genomas bertujuan mewujudkan usaha merumus kaedah saintifik untuk meneliti genetik, emosi, kekuatan mental dan personaliti dalam kalangan atlet serta pewaris perniagaan keluarga menerusi keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Sementara itu, inisiatif yang dijalankan bersama StratNaviGO adalah menyentuh mengenai usaha inovasi dari segi teknologi kesihatan pembuatan makanan melibatkan perusahaan yang mementingkan kelestarian di seluruh Malaysia.

Usaha sama dengan Monozca pula melibatkan pemulihan terhadap sumber alam seperti hasil laut dan sayur-sayuran yang bertujuan menjadi sebagai sekuriti makanan di rantau Asia Tenggara termasuk negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif BinaPavo, Dr Leilanie Mohd Nor berkata, kerjasama dapat mengembangkan lagi teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam negara dan akan memastikan lebih banyak manfaat kepada rakyat.

Jelas beliau, contohnya usaha merumus DNA dalam kalangan atlet sukan menggunakan teknologi terkini bersama Genomas berupaya mengenal pasti kebolehan dan kekuatan mental serta fizikal dalam kalangan mereka.

“Bila kita dapat kenal pasti, apakah kelemahan yang ada di dalam mereka terutama dari segi mental, kita dapat menyediakan penyelesaian dengan lebih drastik terhadap mereka.

“Kita harus faham yang kajian ada mengatakan 80 peratus kekuatan mental memainkan peranan kepada pencapaian mereka berbanding teknik dan skil yang cuma mempunyai sebanyak 20 peratus sahaja.

“Serupa juga dalam perkara melibatkan pewarisan syarikat milik keluarga, ujian ini dapat digunakan untuk mengenal pasti mana satu individu yang mempunyai bakat dan kebolehan dalam mengusahakannya. Jadi di sini kita dapat melihat ia mempunyai manfaat yang besar,” kata beliau kepada Sinar Harian.

Mengenai isu pemakanan dalam kalangan rakyat Malaysia, kerjasama dengan Monozca dapat menyelesaikan masalah tersebut.

“Isu makanan hari ini sangat membimbangkan sehinggakan kita tidak lagi berbicara tentang kesukaran golongan berpendapatan rendah (B40) mendapatkan sumber makanan tetapi juga yang lebih bawah daripada mereka.

“Jadi usaha menerusi kerjasama ini menyentuh mengenai ke arah penyediaan sumbernya supaya masalah berkenaan dapat diselesaikan,” ujar Leilanie.

Sementara itu, Pengerusi Monozca, Dr Paul Monozca ketika ditemui menyatakan sebelum ini pihaknya telah bekerjasama dengan syarikat dari Singapura dan Thailand.

“Dengan kerjasama ini, kita dapat meneliti sumber makanan yang amat diperlukan antara negara masing-masing dan kita dapat kongsikan secara bersama.

“Ia sekali gus berhasil menjayakan usaha sekuriti makanan di rantau Asia Tenggara ini,” kata beliau.

Jelasnya, perkara itu secara tidak langsung dapat mengelakkan kewujudan orang tengah yang sering mempengaruhi terhadap kenaikan kos bahan mentah seperti ikan, sotong dan udang.